Evolusi Pendigitalan Sektor Awam

Transformasi Digital: Malaysia di Persada Ekonomi Digital Dunia

Evolusi Pendigitalan Sektor Awam

Pendigitalan sektor awam di Malaysia telah melalui perjalanan transformasi yang panjang dan berterusan, menjadikan negara sebagai peneraju dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan secara digital. Bermula lebih daripada tiga dekad yang lalu, usaha ini berasaskan kepada inovasi teknologi dan pendekatan yang berpaksikan rakyat untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan, dan aksesibiliti perkhidmatan awam.

Bermula pada tahun 1995 dengan inisiatif koridor raya multimedia, MSC, kerajaan memulakan langkah pertama ke arah pendigitalan melalui transformasi proses pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan menggunakan ICT dan multimedia. Pada tahun 2000, National IT Agenda (NITA) diperkenalkan untuk memanfaatkan teknologi ICT dalam memacu pembangunan negara sambil merapatkan jurang digital di kalangan rakyat. Seterusnya, pada tahun 2007, fasa eGov 1.0 – Connected Government, menggalakkan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.

Pada tahun 2015, kerajaan memperkenalkan eGov 2.0 – Collaborative Government, sebuah pendekatan “Keseluruhan Kerajaan” (Whole of Government) yang bertujuan meningkatkan integrasi dan produktiviti antara agensi kerajaan secara lebih bersepadu. Kemudian, pada tahun 2020, fasa eGov 3.0 – Digital Government menandakan peralihan kepada perkhidmatan yang berpaksikan rakyat, berpandukan dokumen strategi seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (2021-2025). Menjelang tahun 2025, kerajaan akan memfokuskan kepada GovTech dengan Anjakan Strategi Digital First (2024-2025) sebagai pemacu utama, menggunakan teknologi untuk mendorong pertumbuhan ekonomi digital. Inisiatif ini juga memperkenalkan konsep Ekonomi MADANI sebagai asas kepada pembangunan ekonomi digital yang mampan.

Evolusi ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kecekapan, keterangkuman, dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Evolusi ini bukan sahaja mengukuhkan peranan teknologi dalam pentadbiran awam tetapi juga memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju ekonomi digital serantau.

The Evolution of Digital Government-01

Pendekatan Whole-of-Government Enterprise Architecture Sektor Awam

Enterprise Architecture (EA) membolehkan sesebuah organisasi mengenal pasti dan memperkemas perkhidmatan yang disediakan dengan memahami struktur organisasi secara menyeluruh. Ini termasuk fungsi-fungsi yang dijalankan, perkhidmatan yang ditawarkan, proses kerja yang terlibat, data yang digunakan, serta aplikasi dan teknologi yang menyokong perkhidmatan-perkhidmatan tersebut.

Enterprise Architecture

Dengan kata lain, EA menyediakan rangka kerja yang menjadi asas kepada pembangunan inisiatif digital/teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sektor awam seperti mana pelan arkitek yang digunakan dalam pembangunan projek fizikal bagi menunjukkan reka bentuk, struktur, dan keperluan teknologi. EA membolehkan organisasi mendapatkan gambaran yang jelas dan terperinci mengenai operasi mereka. Pemahaman yang mendalam ini adalah penting untuk mengenal pasti bidang-bidang yang boleh diperbaiki, menghapuskan pertindihan, dan memastikan sumber-sumber digunakan secara optimum. Akhirnya, EA membantu organisasi dalam menyampaikan perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan, dan responsif kepada pelanggan atau pihak berkepentingan.

 

Pendekatan Whole-of-Government (WoG) terhadap penyampaian perkhidmatan digital kerajaan disusun dan diselaraskan merentasi enam sektor utama. Mesyuarat Penyelarasan Sektor, yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara (JDN), memainkan peranan penting dengan menghimpunkan Pasukan Digital dari pelbagai sektor utama. Ekosistem WoG ini bergantung kepada integrasi aplikasi, keutamaan kepada aplikasi generik kerajaan, data yang boleh dikongsi bersama, serta disokong oleh penggunaan teknologi yang standard. Strategi ini, menggalakkan kecekapan dan mengurangkan pertindihan dalam penyampaian perkhidmatan yang cekap dan bersepadu kepada orang ramai.

Konsep WoG

Konsep Whole-of-Government (WoG) dan Enterprise Architecture (EA) adalah dua elemen yang saling berkaitan dalam evolusi pendigitalan sektor awam. Pendekatan WoG menggalakkan kerjasama dan penyepaduan antara agensi kerajaan untuk menyampaikan perkhidmatan secara lebih holistik dan berpusatkan rakyat. Untuk mencapai matlamat ini, EA menyediakan rangka kerja komprehensif yang membimbing perancangan, reka bentuk, dan pelaksanaan inisiatif digital. Dengan menggunakan EA, agensi-agensi kerajaan dapat memastikan bahawa sistem dan aplikasi mereka adalah saling beroperasi, data dapat dikongsi dengan mudah, dan sumber-sumber ICT dapat digunakan secara optimum, seterusnya menyokong pelaksanaan strategi WoG secara berkesan.

Skip to content