Search
Close this search box.


Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam (KWAICT)

Latar Belakang

Kerajaan telah menubuhkan KWAICT pada 13 Jun 2013 di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 melalui Surat Ikatan Amanah bagi Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam.

Tujuan

    1. Mengarusperdanakan  pelaksanaan  projek-projek  ICT  secara in-house yang menggunakan kepakaran dalaman untuk memastikan nilai untuk wang diperolehi bagi setiap projek atau program dilaksanakan;
    2. Memberi pengiktirafan dalam bentuk ganjaran kepada ahli Pasukan Projek ICT yang berjaya melaksanakan Projek ICT secara in-house dan menghasilkan penjimatan kos kepada Kerajaan;
    3. Menyediakan dana khas bagi membiayai Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme Pegawai Skim Perkhidmatan Teknologi Maklumat Sektor Awam; dan
    4. Menghasilkan lebih banyak produk ICT tempatan melalui pengukuhan program-program Penyelidikan dan Pembangunan (Research and Development) ICT Sektor Awam.

 Sumber dan Penggunaan

Sumber KWAICT diperoleh daripada Kementerian Kewangan.

KWAICT digunakan untuk tujuan pemberian ganjaran dan pembiayaan seperti yang berikut:

    1. Memberikan ganjaran kepada Pasukan Projek ICT mengikut pengiraan 40 peratus daripada jumlah penjimatan kos tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM200,000.00 bagi setiap Projek ICT dengan nilai mínimum sebanyak RM100.00 bagi setiap Ahli Pasukan Projek ICT;
    2. Membiayai Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme Pegawai Skim Perkhidmatan Teknologi Maklumat Sektor Awam bagi kursus pensijilan profesional atau kursus kemahiran insani (soft skills); dan
    3. Membiayai Program R & D ICT Sektor Awam dengan pembiayaan tidak melebihi RM200,000.00 bagi satu projek. Jumlah pembiayaan dimohon meliputi kos menjalankan penyelidikan dan kos lain yang berkaitan.

  Pelaksanaan

    1. Permohonan pemberian ganjaran dan pembiayaan daripada KWAICT hendaklah berpandukan Garis Panduan Permohonan Ganjaran dan Pembiayaan daripada Kumpulan Wang Amanah  Pembangunan Projek ICT Sektor Awam (KWAICT) seperti Lampiran 1 dalam Pekeliling Transformasi Pentadbiran Awam (PTPA) Bil. 4 Tahun 2017.
    2. Garis panduan ini menjelaskan kaedah permohonan ganjaran oleh Pasukan Projek ICT, permohonan pembiayaan Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme Pegawai Skim Perkhidmatan Teknologi Maklumat Sektor Awam serta permohonan pembiayaan Program R & D ICT Sektor Awam. Garis panduan ini juga menjelaskan kriteria dan proses penilaian, tadbir urus KWAICT serta tanggungjawab agensi.

 
Pemakaian

    1. PTPA ini terpakai kepada semua Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan.
    2. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa negeri masing-masing, Pentadbiran Negeri disarankan untuk menubuhkan kumpulan wang amanah ICT bagi tujuan yang sama dengan menggunakan peruntukan negeri masing-masing.


Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Transformasi Pentadbiran Awam Bil. 4 Tahun 2017 berkuatkuasa mulai 15 November 2017.


Pertanyaan
Sebarang pertanyaan berkenaan dengan KWAICT boleh dikemukakan kepada:

Setiausaha Jawatankuasa KWAICT,
Jabatan Digital Negara, Kementerian Digital,
Bahagian Pembangunan Strategik dan Arkitektur Digital (BSA)
Blok B, Bangunan MKN Embassy Techzone,
N0. 3200, Jalan Teknokrat 2,
63000 CYBERJAYA, SELANGOR

No. Telefon : 03 – 8000 8000
E-mel : kwaict@digital.gov.my

capaian dokumen

Skip to content