Pelaksanaan Whole-of-Government (WoG) Enterprise Architecture
Pendigitalan sektor awam di Malaysia telah melalui perjalanan transformasi yang panjang dan berterusan, menjadikan negara sebagai peneraju dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan secara digital. Bermula lebih daripada tiga dekad yang lalu, usaha ini berasaskan kepada inovasi teknologi dan pendekatan yang berpaksikan rakyat untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan, dan aksesibiliti perkhidmatan awam.
Bermula pada tahun 1995 dengan inisiatif koridor raya multimedia, MSC, kerajaan memulakan langkah pertama ke arah pendigitalan melalui transformasi proses pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan menggunakan ICT dan multimedia. Pada tahun 2000, National IT Agenda (NITA) diperkenalkan untuk memanfaatkan teknologi ICT dalam memacu pembangunan negara sambil merapatkan jurang digital di kalangan rakyat. Seterusnya, pada tahun 2007, fasa eGov 1.0 – Connected Government, menggalakkan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.
Pada tahun 2015, kerajaan memperkenalkan eGov 2.0 – Collaborative Government, sebuah pendekatan “Keseluruhan Kerajaan” (Whole of Government) yang bertujuan meningkatkan integrasi dan produktiviti antara agensi kerajaan secara lebih bersepadu. Kemudian, pada tahun 2020, fasa eGov 3.0 – Digital Government menandakan peralihan kepada perkhidmatan yang berpaksikan rakyat, berpandukan dokumen strategi seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (2021-2025). Menjelang tahun 2025, kerajaan akan memfokuskan kepada GovTech dengan Anjakan Strategi Digital First (2024-2025) sebagai pemacu utama, menggunakan teknologi untuk mendorong pertumbuhan ekonomi digital. Inisiatif ini juga memperkenalkan konsep Ekonomi MADANI sebagai asas kepada pembangunan ekonomi digital yang mampan.
Evolusi ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kecekapan, keterangkuman, dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Evolusi ini bukan sahaja mengukuhkan peranan teknologi dalam pentadbiran awam tetapi juga memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju ekonomi digital serantau.
Pendekatan Whole-of-Government Enterprise Architecture Sektor Awam
Enterprise Architecture (EA) membolehkan sesebuah organisasi mengenal pasti dan memperkemas perkhidmatan yang disediakan dengan memahami struktur organisasi secara menyeluruh. Ini termasuk fungsi-fungsi yang dijalankan, perkhidmatan yang ditawarkan, proses kerja yang terlibat, data yang digunakan, serta aplikasi dan teknologi yang menyokong perkhidmatan-perkhidmatan tersebut.
Dengan kata lain, EA menyediakan rangka kerja yang menjadi asas kepada pembangunan inisiatif digital/teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sektor awam seperti mana pelan arkitek yang digunakan dalam pembangunan projek fizikal bagi menunjukkan reka bentuk, struktur, dan keperluan teknologi. EA membolehkan organisasi mendapatkan gambaran yang jelas dan terperinci mengenai operasi mereka. Pemahaman yang mendalam ini adalah penting untuk mengenal pasti bidang-bidang yang boleh diperbaiki, menghapuskan pertindihan, dan memastikan sumber-sumber digunakan secara optimum. Akhirnya, EA membantu organisasi dalam menyampaikan perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan, dan responsif kepada pelanggan atau pihak berkepentingan.
Pendekatan Whole-of-Government (WoG) terhadap penyampaian perkhidmatan digital kerajaan disusun dan diselaraskan merentasi enam sektor utama. Mesyuarat Penyelarasan Sektor, yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara (JDN), memainkan peranan penting dengan menghimpunkan Pasukan Digital dari pelbagai sektor utama. Ekosistem WoG ini bergantung kepada integrasi aplikasi, keutamaan kepada aplikasi generik kerajaan, data yang boleh dikongsi bersama, serta disokong oleh penggunaan teknologi yang standard. Strategi ini, menggalakkan kecekapan dan mengurangkan pertindihan dalam penyampaian perkhidmatan yang cekap dan bersepadu kepada orang ramai.
Konsep Whole-of-Government (WoG) dan Enterprise Architecture (EA) adalah dua elemen yang saling berkaitan dalam evolusi pendigitalan sektor awam. Pendekatan WoG menggalakkan kerjasama dan penyepaduan antara agensi kerajaan untuk menyampaikan perkhidmatan secara lebih holistik dan berpusatkan rakyat. Untuk mencapai matlamat ini, EA menyediakan rangka kerja komprehensif yang membimbing perancangan, reka bentuk, dan pelaksanaan inisiatif digital. Dengan menggunakan EA, agensi-agensi kerajaan dapat memastikan bahawa sistem dan aplikasi mereka adalah saling beroperasi, data dapat dikongsi dengan mudah, dan sumber-sumber ICT dapat digunakan secara optimum, seterusnya menyokong pelaksanaan strategi WoG secara berkesan.
GovTech: Kerangka Whole-of-Government (WoG)
Penyampaian perkhidmatan kerajaan beralih ke arah GovTech dengan memfokuskan kepada pendekatan menyeluruh kerajaan atau Whole-of-Government (WoG) dengan memanfaatkan data dan teknologi digital secara optimum dalam sistem kerajaan supaya lebih cekap, cerdas, tangkas dan selamat ke arah kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara dengan menitikberatkan aspek keselamatan digital dan meningkatkan keyakinan rakyat dalam transaksi kerajaan.
Konsep GovTech merujuk kepada pendekatan WoG yang bertujuan melaksanakan pendigitalan sektor awam secara sistematik, cekap, dan bersepadu. Pendekatan ini menekankan integrasi teknologi digital dalam keseluruhan operasi pentadbiran kerajaan bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, merapatkan jurang antara agensi kerajaan, dan memenuhi keperluan rakyat serta pihak berkepentingan. GovTech berfungsi sebagai pemangkin kepada transformasi kerajaan yang lebih responsif dan inovatif melalui sinergi teknologi dan kerjasama merentas agensi.
Pendekatan ini memberi fokus kepada tiga aspek utama. Pertama, perkhidmatan awam yang mudah diakses dan berpaksikan rakyat, di mana teknologi digital digunakan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih mesra pengguna, pantas, dan inklusif. Melalui platform digital yang berpusat dan bersepadu, rakyat boleh mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan tanpa perlu melalui proses birokrasi yang rumit atau halangan fizikal. Pendekatan ini memastikan bahawa rakyat mendapat pengalaman perkhidmatan yang lancar dan memenuhi keperluan semasa mereka.
Kedua, GovTech memacu transformasi kerajaan digital dengan menumpukan kepada pemodenan sistem sedia ada dan peralihan daripada proses manual kepada automasi sepenuhnya. Ini melibatkan pembangunan infrastruktur teknologi seperti pengkomputeran awan, pemusatan data, serta penggunaan teknologi pintar seperti analitik data dan kecerdasan buatan (AI). Integrasi sistem merentas agensi kerajaan memastikan data dapat dikongsi secara selamat dan cekap, sekaligus mempercepatkan proses membuat keputusan dan meningkatkan keberkesanan operasi kerajaan. Transformasi ini turut memastikan kerajaan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran baharu serta mampu beradaptasi dengan perubahan teknologi.
Ketiga, konsep ini turut menitikberatkan pembangunan sistem kerajaan yang mudah, cekap, dan telus. Pendekatan ini meminimumkan birokrasi, mengurangkan pertindihan tugas antara agensi, dan meningkatkan kecekapan operasi melalui pemantauan dan analitik data masa nyata. Ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan diperkuat melalui akses maklumat secara terbuka, memastikan rakyat dan pihak berkepentingan mempunyai keyakinan terhadap integriti serta akauntabiliti sistem kerajaan. Ciri-ciri ini membantu membina ekosistem yang lebih cekap dengan pemantauan yang ketat terhadap prestasi perkhidmatan.
Pada 8 Mei 2019, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), melaksanakan kajian terperinci mengenai Rangka Kerja Identiti Digital Nasional (IDN).
Identiti Digital Nasional (IDN) merupakan kaedah pengesahan identiti seseorang di alam maya yang berasaskan pendekatan ‘What You Are’, ‘What You Have’, dan ‘What You Know’. Pendekatan ini disokong oleh rangka kerja identiti digital yang dipercayai (trusted digital identity framework), memastikan identiti digital dapat diurus dengan selamat dan berkesan. IDN adalah bentuk pengenalan digital yang membolehkan individu mendapatkan akses kepada perkhidmatan digital dan melakukan transaksi dalam talian dengan tahap keselamatan yang lebih tinggi.
MyCoID adalah nombor syarikat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan digunakan untuk berurusan dengan semua agensi berkaitan. MyCoID bertujuan mempermudah proses pengurusan dokumen perniagaan secara digital. Carian nama dan pembentukan syarikat secara mandatori kini boleh dilakukan sepenuhnya secara dalam talian melalui portal MyCoID yang telah beroperasi di seluruh negara mulai 11 Disember 2014. Sistem ini direka untuk meningkatkan kemudahan dan keberkesanan pengurusan maklumat perniagaan di Malaysia, selaras dengan usaha kerajaan untuk memacu transformasi digital dalam sektor ekonomi.
Melalui IDN dan MyCoID, kerajaan berusaha memastikan individu dan perniagaan dapat menikmati manfaat penuh daripada transformasi digital, sejajar dengan aspirasi Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital serantau.
MyPesona dan MyPerniagaan diperkenalkan sebagai konsep yang mewakili individu dan perniagaan. MyPesona yang mewakili individu, dengan data registri yang meliputi maklumat identiti, kebenaran pengurusan data, dan struktur keluarga. Ia juga merangkumi data berkaitan kebajikan sosial, kelayakan bantuan, pendidikan, kerjaya, dan kesihatan. Selain itu, MyPesona mengandungi maklumat mengenai hak individu, penglibatan komuniti, harta seperti kenderaan, tanah, dan rumah, serta fasiliti seperti bil utiliti, pembayaran cukai, dan saman.
Manakala MyPerniagaan mewakili syarikat, dengan data registri yang melibatkan sijil dan lesen perniagaan, maklumat premis perniagaan, dan aset syarikat. Ia juga merangkumi data berkaitan geran, peluang pelaburan, pengurusan produk seperti sijil halal dan keselamatan makanan, serta fasiliti utiliti, cukai, dan saman syarikat. Selain itu, MyPerniagaan turut memfokuskan pengurusan liabiliti perniagaan, termasuk kebankrapan dan urusan mahkamah.
Kerangka WoG juga mengutamakan inklusiviti dan ketelusan melalui ciri capaian terbuka seperti Notifikasi Rakyat yang menyediakan kemas kini tepat pada masanya, Suara Rakyat untuk memastikan suara rakyat didengar, dan Carian Bestari yang menawarkan fungsi pencarian pintar. Platform ini menyokong pelbagai sektor termasuk ekonomi, infrastruktur, perkhidmatan sosial, keselamatan, dan pentadbiran awam, sekaligus memperkemaskan interaksi G2C (Kerajaan kepada Rakyat), G2B (Kerajaan kepada Perniagaan), G2G (Kerajaan kepada Kerajaan), dan G2E (Kerajaan kepada Pekerja).
Secara keseluruhannya, konsep GovTech dalam pendekatan Whole-of-Government (WoG) adalah usaha strategik kerajaan dalam mendigitalkan sektor awam bagi menyokong perkembangan ekonomi digital negara. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan akses kepada perkhidmatan yang berkualiti, tetapi turut memastikan penyampaian perkhidmatan dilakukan secara cekap, mudah, dan telus. GovTech menjadi pemacu utama kepada agenda transformasi digital Malaysia, memastikan setiap individu, komuniti, dan organisasi dapat menikmati faedah daripada pendigitalan ini. Menerusi langkah ini, kerajaan bukan sahaja memperkukuhkan keberkesanan sistem pentadbiran, tetapi juga menyokong matlamat untuk menjadi peneraju dalam ekonomi digital serantau.
Lakaran Pendigitalan
Lakaran pendigitalan menggambarkan perkhidmatan digital keseluruhan kerajaan secara WoG yang menjelaskan bagaimana perkhidmatan kerajaan disediakan secara menyeluruh dan suatu penyelesaian digital saling berkaitan merentas agensi secara seamless. Perspektif kluster perkhidmatan kerajaan yang digambarkan melalui lima sektor iaitu sektor sosial, sektor ekonomi, , sektor keselamatan, sektor infrastruktur dan sektor pentadbiran awam yang berdasarkan kepada perkhidmatan yang diberi secara langsung berkaitan aktiviti sektor kepada empat kumpulan sasar iaitu rakyat, komuniti perniagaan, agensi kerajaan dan penjawat awam.
Sektor Sosial
Inisiatif Akses Teknologi Digital dalam Pembelajaran bertujuan menyediakan pendidikan berkualiti tinggi yang dilantari oleh teknologi digital. Melalui pendekatan ini, kerajaan memastikan pelajar dan tenaga pengajar di seluruh negara dapat menikmati manfaat daripada kemajuan teknologi, sekali gus meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran dan pengajaran.
Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, platform MyGDX telah dipertingkatkan dengan ciri-ciri keselamatan yang merangkumi aspek keselamatan data dan siber. Penambahbaikan ini memastikan setiap agensi dan pengguna berdaftar disahkan melalui Portal MyGDX, yang diintegrasikan dengan pelbagai agensi berkaitan. Di samping itu, setiap kelulusan langganan API juga disahkan melalui sijil digital, dan setiap sistem yang diakses ke API MyGDX akan diverifikasi terlebih dahulu melalui teknologi Public Key Infrastruktur (MyGPKI).
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi tetapi juga memastikan keselamatan data pengguna terjamin. Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memanfaatkan teknologi digital untuk memperkasakan sektor sosial, khususnya dalam pendidikan, bagi memastikan generasi akan datang bersedia menghadapi cabaran dunia digital.
Sektor Ekonomi
Dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan bagi menyokong aktiviti perniagaan, khususnya dalam aspek pengurusan geran, lesen dan pembiayaan perniagaan. Inisiatif ini bertujuan untuk mempercepat dan mempermudah urusan usahawan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta menggalakkan inovasi dan daya saing dalam kalangan perusahaan tempatan.
Inisiatif Pengurusan Pemberian Geran Perniagaan memfokuskan kepada pendigitalan proses permohonan, penilaian dan pengagihan geran perniagaan. Melalui sistem digital yang efisien, usahawan dapat memohon geran dengan lebih mudah dan telus tanpa perlu berurusan secara fizikal. Pendigitalan proses permohonan dan pengeluaran lesen perniagaan memastikan pematuhan peraturan yang lebih mudah dipantau serta mengurangkan kerenah birokrasi. Digitalisasi dalam pengurusan pembiayaan perniagaan membolehkan pemohon mengakses maklumat pembiayaan, mengemukakan permohonan dan menyemak status kelulusan dengan lebih cekap.
Semua usaha ini melibatkan inisiatif Anjakan ASDF, yang memberi tumpuan kepada analitik dan perkongsian data melalui platform seperti MyGDX, Data Terbuka, dan pengurusan rekod digital tanpa kertas (paperless) melalui sistem DDMS 2.0. Selain itu, kementerian dan agensi memanfaatkan rangkaian, pusat data, dan pengkomputeran awan kerajaan yang disediakan oleh JDN, termasuk MyGov*Net, MyGovCloud@PDSA, dan MyGovUC, yang memastikan keselamatan dan keberkesanan dalam pengurusan data.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkasakan sektor pertanian dengan teknologi terkini, memastikan sektor ekonomi yang penting ini terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara sambil mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Sektor Keselamatan
Inisiatif teknologi digital pintar dalam sektor keselamatan negara bertujuan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan keselamatan, memastikan kedaulatan, keselamatan, ketenteraman, dan keharmonian negara melalui penggunaan teknologi digital yang canggih. Langkah ini dirancang untuk memperkuat kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran keselamatan moden yang semakin kompleks.
Semua usaha yang dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensinya melibatkan pelaksanaan inisiatif Anjakan ASDF, yang memberi tumpuan kepada analitik data dan perkongsian maklumat melalui platform seperti MyGDX, Data Terbuka, dan Analitis Data Raya. Selain itu, sistem ini turut mendukung pengurusan rekod digital tanpa kertas (paperless) melalui DDMS 2.0, yang membantu meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kebergantungan terhadap proses manual.
Bagi memastikan keselamatan data dan komunikasi, KDN dan agensinya turut menggunakan rangkaian yang selamat, pusat data, serta pengkomputeran awan yang disediakan oleh Jabatan Digital Negara (JDN), termasuk MyGov*Net, MyGovCloud@PDSA, dan MyGovUC. Dengan langkah-langkah ini, sektor keselamatan negara menjadi lebih berdaya tahan, responsif, dan mampu menangani pelbagai cabaran keselamatan dalam era digital.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan kedaulatan negara dengan teknologi terkini, sejajar dengan visi untuk memastikan keselamatan rakyat dan kestabilan negara kekal menjadi keutamaan utama.
Sektor Infrastruktur
Sistem Pengangkutan Pintar bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, keselamatan, dan kelestarian sistem pengangkutan melalui penerapan teknologi digital yang canggih. Inisiatif ini memainkan peranan penting dalam memperbaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam dan infrastruktur berkaitan, menjadikannya lebih selamat, cekap, dan mesra alam.
Semua usaha di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) dan agensi-agensinya melibatkan pelaksanaan inisiatif Anjakan ASDF untuk analitik dan perkongsian data melalui platform seperti MyGDX dan Data Terbuka, serta pengurusan rekod digital tanpa kertas (paperless) melalui DDMS 2.0. Selain itu, MOT memanfaatkan rangkaian, pusat data, dan perkhidmatan pengkomputeran awan yang selamat disediakan oleh JDN, termasuk MyGov*Net, MyGovCloud@PDSA, dan MyGovCloud@CFA.
Pendekatan ini memastikan pengangkutan awam dan infrastruktur di Malaysia bukan sahaja memenuhi keperluan semasa tetapi juga disesuaikan untuk mendukung pembangunan lestari dan pertumbuhan masa depan. Ini adalah sebahagian daripada usaha bersepadu Malaysia untuk mencapai status negara maju yang dipacu teknologi.
Sektor Pentadbiran Awam
Inisiatif dalam sektor pentadbiran awam bertujuan untuk memperkukuhkan kecekapan, integriti, dan ketelusan dalam sistem pentadbiran kerajaan melalui penggunaan pengautomasi proses kerja. Transformasi ini direka bagi meningkatkan kecekapan operasi, kualiti penyampaian perkhidmatan, integriti dalam pengurusan serta produktiviti keseluruhan sektor pentadbiran awam.
Semua usaha ini dipacu oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan agensi berkaitan, dengan pelaksanaan inisiatif Anjakan ASDF, yang memberi fokus kepada analitik data, perkongsian maklumat melalui Data Terbuka, Analitis Data Raya, penggunaan sidang video, dan pengurusan rekod digital tanpa kertas (paperless) menggunakan sistem DDMS 2.0. Selain itu, agensi-agensi kerajaan turut memanfaatkan rangkaian komunikasi, pusat data, dan pengkomputeran awan yang disediakan oleh Jabatan Digital Nasional (JDN). Infrastruktur seperti MyGPKI, MyGov*Net, MyGovUC, dan MyGovCloud@PDSA digunakan untuk memastikan keselamatan dan kecekapan dalam pengurusan data serta komunikasi kerajaan.
Melalui pendekatan ini, sektor pentadbiran awam bukan sahaja mampu memberikan perkhidmatan yang lebih cepat dan berkualiti tinggi kepada rakyat, tetapi juga mengukuhkan integriti dan ketelusan dalam sistem pengurusan kerajaan. Transformasi ini selaras dengan visi kerajaan untuk menjadi model pentadbiran moden dan efisien dalam era digital.
Pendekatan Baharu Keperluan Inisiatif/Projek Digital/ICT
Kerajaan Malaysia komited untuk memperkukuhkan pelaksanaan projek digital dan ICT melalui pendekatan strategik yang memfokuskan kepada keutamaan projek berimpak tinggi, pengoptimuman kos, dan reka bentuk perkhidmatan yang efisien. Langkah ini bertujuan memastikan setiap projek yang dilaksanakan memberi manfaat maksimum kepada rakyat, industri, dan agensi kerajaan, sambil menyokong visi negara sebagai peneraju ekonomi digital.
Keutamaan Projek Berimpak Tinggi
Kerajaan memberi fokus utama kepada projek-projek yang mempunyai impak besar kepada negara dan masyarakat, khususnya yang melibatkan risiko tinggi.
i. Berisiko tinggi dan berpotensi mengancam nyawa
Keutamaan pertama adalah projek yang berisiko tinggi dan berpotensi mendatangkan implikasi terhadap keselamatan nyawa. Ini merangkumi inisiatif yang melibatkan keselamatan rakyat seperti infrastruktur kritikal, sistem kecemasan, dan perkhidmatan kesihatan. Projek ini diutamakan bagi memastikan kesejahteraan dan perlindungan terhadap nyawa rakyat terus terjaga.
ii. Menjejas dan memudaratkan kesihatan awam
Keutamaan kedua ialah projek yang melibatkan kesihatan awam. Kerajaan memberi penekanan kepada usaha untuk menangani isu-isu kesihatan yang mungkin mengancam kesejahteraan komuniti. Ini termasuk projek berkaitan sistem kesihatan digital, kawalan penyakit, dan pembangunan infrastruktur kesihatan yang lebih baik dan cekap.
iii. Berpotensi mengancam keselamatan negara
Seterusnya, keutamaan ketiga melibatkan projek yang melibatkan keselamatan negara. Ini termasuklah langkah-langkah keselamatan seperti perlindungan data kerajaan, pengawasan keselamatan sempadan, dan penggunaan teknologi digital pintar dalam memastikan kedaulatan dan kestabilan negara kekal terpelihara daripada sebarang ancaman.
iv. Berpotensi menjejaskan ekonomi dan kewangan negara
Keutamaan keempat memberi tumpuan kepada projek berkaitan isu-isu yang berpotensi menjejaskan ekonomi dan kewangan negara. Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan kestabilan ekonomi negara melalui pembangunan sistem digital yang menyokong sektor perniagaan, kewangan, dan perdagangan. Fokus ini penting bagi memastikan ketahanan ekonomi yang mampan dan berdaya saing di peringkat global.
v. Mempunyai kompleksiti tinggi dan merentas agensi serta memberi impak langsung kepada penjawat awam dan rakyat
Keutamaan kelima ialah projek yang mempunyai kompleksiti tinggi dan melibatkan kerjasama merentas agensi kerajaan. Projek sebegini mempunyai impak besar terhadap penjawat awam dan rakyat, memerlukan integrasi sistem dan perkhidmatan yang menyeluruh. Pendekatan ini memastikan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan dengan lebih cekap dan responsif kepada keperluan rakyat.
vi. Aplikasi teras (mission critical) agensi
Akhir sekali, keutamaan keenam ialah aplikasi teras (mission critical) yang digunakan oleh agensi kerajaan. Projek ini melibatkan sistem utama yang kritikal untuk operasi harian agensi, seperti pengurusan data, rekod digital, dan infrastruktur IT yang menyokong pentadbiran kerajaan. Keutamaan ini memastikan kesinambungan dan kelancaran perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dapat dikekalkan dalam apa jua situasi.
Pengoptimuman Kos Projek dengan Perkhidmatan Guna Sama Digital Kerajaan
Pendekatan kerajaan Malaysia dalam mengoptimumkan kos projek menekankan penggunaan perkhidmatan gunasama digital yang berasaskan interoperability technology sebagai penyelesaian holistik dan bersepadu. Teknologi ini memastikan sistem digital di pelbagai agensi kerajaan dapat berfungsi secara lancar, berkongsi data, dan berkomunikasi antara satu sama lain tanpa halangan teknikal. Dengan adanya interoperability technology, pertindihan sistem dapat dielakkan dan kos pembangunan sistem baharu dapat dikurangkan, sekaligus memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada.
i. Perkhidmatan Gunasama ICT
Perkhidmatan gunasama ini melibatkan beberapa komponen utama. Antaranya ialah Pusat Data, Rangkaian, Komunikasi, dan Keselamatan yang membolehkan sistem pentadbiran kerajaan beroperasi dengan lebih stabil dan selamat. Ini disokong oleh penggunaan Perkhidmatan Cloud yang merangkumi Public Cloud, Private Cloud, Hybrid Cloud, serta model perkhidmatan IaaS (Infrastructure as a Service), PaaS (Platform as a Service), dan SaaS (Software as a Service). Melalui perkhidmatan awan ini, penyimpanan data dan pemprosesan maklumat dapat dilakukan secara berskala, fleksibel, dan kos efektif.
ii. Perkhidmatan Perundingan ICT
Selain itu, Perkhidmatan Perundingan ICT memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan pelaksanaan transformasi digital kerajaan melalui sokongan teknikal dan kepakaran dalaman. Fokus utama perkhidmatan ini adalah memberikan bimbingan dan khidmat nasihat kepada agensi kerajaan berkaitan perancangan, pembangunan, dan penyelenggaraan sistem ICT. Dengan adanya kepakaran dalaman ICT, agensi dapat mengoptimumkan penggunaan teknologi digital sambil memastikan kos pembangunan dan operasi sistem dapat dikawal dengan baik.
IV&V atau Independent Verification & Validation turut menjadi elemen kritikal dalam perkhidmatan ini. IV&V bertujuan memastikan setiap projek ICT yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan memenuhi piawaian kualiti, keselamatan, dan prestasi yang ditetapkan. Proses ini melibatkan penilaian bebas terhadap reka bentuk, pembangunan, serta ujian sistem untuk memastikan sistem beroperasi dengan efisien, selamat, dan bersalinghubung antara agensi.
Teknologi seperti blockchain juga diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inovasi dalam Perkhidmatan Perundingan ICT, menyediakan rangkaian yang telus dan selamat untuk perkongsian data merentas agensi kerajaan. Dengan sokongan organisasi seperti SDEC, kepakaran ini memastikan perkhidmatan kerajaan lebih responsif terhadap perubahan teknologi serta keperluan pengguna.
iii. Rasionalisasi Aplikasi
Seterusnya adalah rasionalisasi aplikasi yang merupakan langkah penting dalam memperkemaskan dan mengoptimumkan penggunaan sistem aplikasi di seluruh agensi kerajaan. Pendekatan ini memberi penekanan kepada aplikasi sepunya dan aplikasi mudah Alih, di mana sistem yang serupa atau bertindih disatukan bagi mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan, dan memaksimumkan manfaat teknologi digital.
Aplikasi sepunya merujuk kepada pembangunan satu sistem atau aplikasi yang boleh dikongsi dan digunakan secara bersama oleh pelbagai agensi kerajaan. Sebagai contoh, DDMS 2.0 (Dokumen Digital Management System) menyediakan platform pengurusan dokumen secara digital dan ePayment menyokong transaksi kewangan elektronik yang lebih pantas dan selamat. Ini mengurangkan kebergantungan kepada sistem berasingan, sekali gus menggalakkan integrasi merentas agensi kerajaan. Selain itu, penggunaan platform MyCoID dan mydigital ID membolehkan pengurusan identiti perniagaan dan individu secara cekap, selaras dengan aspirasi digital kerajaan.
Dalam konteks aplikasi nudah alih, penekanan diberikan kepada pembangunan aplikasi yang fleksibel dan mesra pengguna, membolehkan rakyat mengakses perkhidmatan kerajaan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Inisiatif seperti HRMIS (Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia) dan platform seperti PADU membuktikan usaha kerajaan dalam memastikan sistem mudah alih dapat menyokong operasi harian dan menyediakan perkhidmatan yang lebih pantas serta berkesan.
Melalui rasionalisasi aplikasi, kerajaan dapat memastikan penggunaan sumber teknologi yang lebih bijak dan terancang. Langkah ini bukan sahaja menyokong objektif transformasi digital, tetapi juga meningkatkan kebolehsalinghubungan (interoperability) antara sistem kerajaan serta memudahkan penyampaian perkhidmatan digital yang lebih efisien kepada rakyat dan sektor perniagaan.
iv. Platform & Perkhidmatan Digital
Platform dan perkhidmatan digital memainkan peranan penting dalam menyokong agenda transformasi digital kerajaan dengan menyediakan penyelesaian teknologi yang komprehensif dan bersepadu. Ini termasuklah pembangunan portal dan platform digital seperti MyGovernment Portal, End-to-End (E2E), dan MyGDX yang bertujuan memudahkan akses kepada perkhidmatan kerajaan serta meningkatkan keberkesanan sistem pentadbiran awam.
MyGovernment Portal berfungsi sebagai gerbang utama kepada semua perkhidmatan kerajaan dalam satu platform berpusat. Ia membolehkan rakyat, perniagaan, dan agensi kerajaan mengakses pelbagai perkhidmatan secara dalam talian dengan mudah, cekap, dan selamat. Pendekatan ini memastikan penyampaian perkhidmatan lebih mesra pengguna dan mengurangkan kebergantungan terhadap proses manual.
Selain itu, sistem End-to-End (E2E) menekankan kecekapan proses kerja digital dari awal hingga akhir, memastikan setiap urusan kerajaan dapat dilaksanakan secara automatik dan lancar tanpa halangan birokrasi. Melalui platform ini, perkhidmatan dapat disampaikan dengan lebih pantas dan telus, sekaligus meningkatkan produktiviti sektor awam.
Dalam aspek pengurusan data, MyGDX atau Government Data Exchange membolehkan perkongsian data secara bersepadu antara agensi kerajaan. Ini menggalakkan kebolehsalinghubungan (interoperability) antara sistem dan memaksimumkan penggunaan data bagi menyokong perancangan serta pengambilan keputusan yang lebih tepat.
Teknologi canggih seperti Analitis Data dan Kecerdasan Buatan (AI) turut diterapkan dalam platform ini bagi membantu kerajaan menganalisis maklumat besar (Big Data) dan meramal keperluan masa hadapan. Analisis ini digunakan untuk mengenalpasti trend, meningkatkan perkhidmatan, dan merancang strategi yang lebih proaktif serta berfokus kepada keperluan rakyat.
v. Pengurusan Penggunaan Peralatan & Perisian ICT
Pengurusan penggunaan peralatan dan perisian ICT adalah komponen penting dalam memastikan kelancaran operasi sistem digital kerajaan. Aspek ini merangkumi pengendalian lesen perisian serta perkakasan front-end seperti komputer, rangkaian, dan peralatan lain yang digunakan oleh agensi kerajaan. Dengan pengurusan yang sistematik, kerajaan dapat memastikan penggunaan sumber ICT lebih cekap, meminimumkan risiko ketidaksesuaian peralatan, dan memaksimumkan produktiviti.
Pengurusan lesen perisian melibatkan kawalan terhadap pematuhan hak cipta, pelesenan sah, dan pembaharuan secara berkala. Ini memastikan perisian yang digunakan sentiasa dikemas kini dan selaras dengan keperluan teknologi semasa. Di samping itu, pengurusan perkakasan front-end memastikan peralatan yang digunakan oleh pengguna akhir berfungsi dengan baik dan dapat menyokong aplikasi serta sistem sedia ada.
Secara keseluruhannya, pengurusan peralatan dan perisian ICT membantu kerajaan mengekalkan kualiti perkhidmatan digital yang konsisten, mengoptimumkan kos operasi, dan memastikan sistem yang digunakan sentiasa berada dalam keadaan terbaik. Langkah ini juga menyumbang kepada kecekapan keseluruhan pentadbiran kerajaan dalam mencapai matlamat pendigitalan sektor awam.
Keperluan Reka Bentuk Perkhidmatan (Service Design) dan Anggaran Kos oleh JDN
Merujuk kepada keperluan rekabentuk perkhidmatan (Service Design) dan anggaran kos oleh JDN, pendekatan ini menekankan pentingnya perancangan teknikal dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap dan bersepadu. Service Design membantu mengenalpasti keperluan teknikal dan fungsi bagi setiap projek kerajaan dalam fasa awal perancangan. Pendekatan ini memastikan setiap elemen yang dirancang memenuhi objektif untuk penyampaian perkhidmatan digital yang mesra pengguna, responsif, dan efektif.
Dalam konteks interoperability technology, rekabentuk perkhidmatan memainkan peranan penting bagi memastikan sistem kerajaan yang dibangunkan dapat beroperasi secara lancar dan saling berkait antara satu sama lain. Kebolehsalinghubungan teknologi ini membolehkan data dikongsi dan disepadukan merentasi agensi kerajaan, mengelakkan fragmentasi sistem dan mengurangkan pertindihan perkhidmatan. Standardisasi seperti yang dirujuk melalui platform standard.digital.gov.my menjadi asas kepada pematuhan teknikal yang membolehkan sistem digital berfungsi secara bersama dalam satu ekosistem yang bersepadu.
Selain itu, proses ini turut merangkumi pemetaan katalog harga yang membantu perancangan kos dan mengoptimumkan sumber dalam pembangunan perkhidmatan digital. Dengan memanfaatkan interoperability technology, rekabentuk perkhidmatan kerajaan dapat menyokong transformasi digital dengan lebih cekap, memastikan setiap sistem yang dibangunkan dapat diintegrasikan dan dikongsi antara agensi dengan lancar, sekaligus menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat dan pihak berkepentingan.
Pasukan Digital Sektor
Objektif Pasukan Digital Sektor ditubuhkan bagi memperkasa inisiatif pendigitalan berasaskan konsep keseluruhan kerajaan atau Whole of Government (WoG) melalui pendekatan Government Technology (GovTech) yang diadaptasi daripada GovTech World Bank.
Punca Kuasa penubuhan pasukan adalah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemodenan dan MyDigital Kluster Kerajaan Bilangan 1 Tahun 2024 pada 27 November 2024 yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara.
Medium pelaksanaan, pemantauan serta perbincangan perkara-perkara berbangkit adalah melalui Mesyuarat Penyelarasan Sektor Inisiatif Digital Kerajaan. Tadbir urus serta keahlian Pasukan Digital Sektor adalah seperti rajah di bawah.
Ketua Sektor dilantik melalui Mesyuarat Penentuan Ketua Sektor Bagi Inisiatif Digital Kerajaan pada 6 Januari 2025 yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. Senarai penuh Ketua Sektor adalah seperti di bawah.
Terma Rujukan yang ditetapkan adalah melaksanakan fungsi dan peranan Pasukan Digital Sektor seperti berikut:
Pendigitalan Perkhidmatan yang berteraskan kluster perkhidmatan mengikut sektor seperti berikut:
Penetapan Sektor
Untuk mengemukakan Kertas Cadangan Inisiatif Pendigitalan Sektor Awam bagi projek ICT, kementerian/agensi boleh merujuk kepada fungsi perkhidmatan agensi mengikut sektor berdasarkan kepada penerangan berikut:
Penetapan Sektor
Untuk mengemukakan Kertas Cadangan Inisiatif Pendigitalan Sektor Awam bagi projek ICT, kementerian/agensi boleh merujuk kepada fungsi perkhidmatan agensi mengikut sektor berdasarkan kepada penerangan berikut:
Penetapan Domain Perkhidmatan
Penentuan domain perkhidmatan berasaskan operasi dan perkhidmatan yang diberikan oleh organisasi kepada penerima atau kumpulan sasar. Perkhidmatan utama kementerian/agensi boleh dikumpulkan kepada beberapa domain yang sama meliputi perkhidmatan yang disediakan oleh agensi pusat, agensi persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan. Pemilihan domain perkhidmatan boleh berpandukan kepada Kategori Perkhidmatan (Business Category) dalam Perkhidmatan Awam, seperti yang terkandun dalam panduan Business Reference Model (BRM MyGovEA). Pendekatan ini menggalakkan agensi/kementerian berkolaborasi sebagai satu unit berdasarkan domain perkhidmatan yang sama selaras dengan inisiatif dan strategi Kerajaan Digital Malaysia. Selain itu, pendekatan ini juga mampu mempertingkatkan cara baharu operasi perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan.
Penetapan Kumpulan Sasar
Perkhidmatan dipetakan kepada empat kumpulan sasar iaitu perkhidmatan kepada kepada rakyat (Government to Citizen, G2C) kepada komuniti perniagaan (Government to Business, G2B), antara agensi kerajaan (Government to Government, G2G) dan kepada penjawat awam (Government to Employee, G2E).
Penetapan Kitaran Hayat Perkhidmatan
Kitaran hayat perkhidmatan oleh kerajaan dari mula hingga akhir kitaran hayat di reka bentuk dengan mengenal pasti peristiwa yang merupakan touch point kepada rakyat. Kitaran hayat perkhidmatan berteraskan empat kategori utama kumpulan sasar iaitu berfokuskan rakyat, komuniti perniagaan, agensi kerajaan, dan penjawat awam. Gambaran penetapan kitaran hayat mengikut kumpulan sasar seperti rajah di bawah.
Ekosistem Perkhidmatan Digital
Pendekatan WoG adalah penting untuk memastikan pendigitalan tidak dilakukan secara silo, tetapi dikoordinasikan bagi membolehkan perkongsian data dan penyampaian perkhidmatan yang bersepadu merentas sektor.
Sektor Sosial 1 (Masyarakat)
Ekosistem Pendigitalan Sektor Sosial (Masyarakat) mempamerkan perkhidmatan digital yang bertujuan untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan sosial. Ekosistem ini menyerlahkan platform dan sistem yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan (MySejahtera, EMR), bantuan sosial (eBantuan JKM), dan penglibatan komuniti. Perkhidmatan WoG membolehkan pendekatan yang lebih holistik terhadap perkhidmatan sosial, membolehkan agensi berkongsi data dan menyelaraskan sokongan untuk rakyat merentasi keperluan dan peristiwa kehidupan yang berbeza. Ini boleh membawa kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan dan berpusatkan rakyat.
Sektor Sosial 2 (Bakat)
Ekosistem Pendigitalan Sektor Sosial (Bakat), melibatkan pengurusan bakat, pendidikan, dan pekerjaan. Ekosistem ini menjelaskan platform digital untuk pembelajaran (DELIMa), pembangunan kemahiran, dan padanan pekerjaan (MyFutureJobs). Perkhidmatan WoG memudahkan penyelarasan yang lebih baik antara institusi pendidikan, penyedia latihan, dan majikan, memastikan ekosistem bakat yang lebih selaras dan cekap. Ini dapat meningkatkan kesediaan tenaga kerja dan peluang pembangunan kerjaya.
Sektor Ekonomi
Ekosistem Pendigitalan Sektor Ekonomi memperincikan pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan kepada komuniti perniagaan. Penggunaan platform digital (contohnya, MalaysiaBiz, EzBIZ) dan repositori data untuk menyokong aktiviti perniagaan. Perkhidmatan WoG penting untuk mewujudkan senario pengalaman pelanggan yang lancar bagi perniagaan, membolehkan mereka berinteraksi dengan agensi berbeza melalui sistem yang bersepadu dan tidak berasingan. Faedah langsung kepada kecekapan yang lebih tinggi dalam pendaftaran perniagaan, permohonan permit dan interaksi kawal selia yang lain.
Sektor Infrastruktur
Ekosistem Pendigitalan Sektor Infrastruktur memberi tumpuan kepada perkhidmatan oleh agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan pembangunan fizikal untuk meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat. Perkhidmatan WoG adalah penting untuk menyepadukan perancangan dan pengurusan infrastruktur merentas pelbagai peringkat kerajaan dan agensi, yang membawa kepada pembangunan dan penyediaan perkhidmatan yang lebih cekap.
Sektor Keselamatan
Ekosistem Pendigitalan Sektor Keselamatan memberi fokus kepada sistem digital untuk penguatkuasaan undang-undang (e-Kehakiman), imigresen (MyIMMs) dan pengurusan bencana. Perkhidmatan WoG adalah penting untuk perkongsian maklumat dan penyelarasan yang berkesan antara agensi keselamatan, meningkatkan keselamatan awam dan keselamatan negara.Sebanyak tiga inisiatif telah dikenal pasti di bawah sektor keselamatan iaitu kesiapsiagaan Pengurusan Pra, Semasa dan Pasca Bencana, Meningkatkan Keselamatan Kawalan Sempadan Bersepadu dan Memelihara Keselamatan dan Ketenteraman Awam.
Sektor Pentadbiran Awam
Ekosistem Pendigitalan Sektor Pentadbiran Awam memberikan fokus kepada pendigitalan operasi dalaman kerajaan dan fungsi pentadbiran. Ekosistem ini secara amnya merujuk kepada perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian dan jabatan kerajaan serta perkhidmatan yang disediakan oleh entiti-entiti lain yang terletak di bawah kawalan kementerian/jabatan tertentu kepada kumpulan sasar. Bentuk perkhidmatan yang disediakan melibatkan perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan kepada organisasi kerajaan yang lain (government to government, G2G) dan perkhidmatan kerajaan kepada penjawat awam (government to employee, G2E).
Ringkasan Permohonan
Permohonan Projek Inisiatif Digital Kerajaan untuk penilaian Pasukan digital Sektor telah diterima bermula 15 Mei 2025. Sehingga 30 Disember 2025, sebanyak 1,390 permohonan telah diterima. Cadangan projek ini dinilai berasakan dua kategori projek iaitu Projek Whole-of Government (WoG) dan Projek Agensi Spesifik (AS).