Bahasa Malaysia

Bahasa Inggeris

JDN-header-logo-ms
110-1.png
Perlukan bantuan? Chat dengan AI@JDN


Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam (KWAICT)

Latar Belakang

Kerajaan telah menubuhkan KWAICT pada 13 Jun 2013 di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 melalui Surat Ikatan Amanah bagi Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam.

Tujuan

    1. Mengarusperdanakan pelaksanaan projek-projek  ICT  secara in-house yang menggunakan kepakaran dalaman untuk memastikan nilai untuk wang diperolehi bagi setiap projek atau program dilaksanakan.
    2. Memberi pengiktirafan dalam bentuk ganjaran kepada ahli Pasukan Projek ICT yang berjaya melaksanakan Projek ICT secara in-house dan menghasilkan penjimatan kos kepada Kerajaan.
    3. Menyediakan dana khas bagi membiayai Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme Pegawai Skim Perkhidmatan Sistem Maklumat Sektor Awam.
    4. Menghasilkan lebih banyak produk ICT tempatan melalui pengukuhan program-program Penyelidikan dan Pembangunan (Research and Development) ICT Sektor Awam.

 Sumber dan Penggunaan

Sumber KWAICT diperoleh daripada Kementerian Kewangan.

KWAICT digunakan untuk tujuan pemberian ganjaran dan pembiayaan seperti yang berikut:

    1. Memberi ganjaran kepada ahli Pasukan Projek ICT yang berjaya melaksanakan projek ICT secara dalaman dan menghasilkan penjimatan kos kepada kerajaan. Ganjaran adalah mengikut pengiraan 40 peratus daripada jumlah penjimatan kos tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM200,000.00 bagi setiap Projek ICT dengan nilai mínimum sebanyak RM100.00 bagi setiap Ahli Pasukan Projek ICT;
    2. Membiayai Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme Pegawai Klasifikasi Perkhidmatan Sistem Maklumat Sektor Awam bagi kursus pensijilan profesional atau kursus kemahiran insani (soft skills).
    3. Membiayai Program Penyelidikan dan Pembangunan(Research & Development) ICT Sektor Awam dengan pembiayaan tidak melebihi RM200,000.00 bagi satu projek. Jumlah pembiayaan dimohon meliputi kos menjalankan penyelidikan dan kos lain yang berkaitan.

  Pelaksanaan

    1. Permohonan pemberian ganjaran dan pembiayaan daripada KWAICT hendaklah berpandukan Garis Panduan Permohonan Ganjaran dan Pembiayaan  Kumpulan Wang Amanah  Pembangunan Projek ICT Sektor Awam (KWAICT) seperti Lampiran A dalam Surat Arahan Ketua Pengarah (SAKP) Jabatan Digital Negara Bilangan 1 Tahun 2025. 
    2. Garis panduan ini menjelaskan kaedah permohonan, syarat permohonan serta tanggungjawab agensi bagi  ganjaran oleh Pasukan Projek ICT, permohonan pembiayaan Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme bagi Pegawai Klasifikasi  Perkhidmatan Sistem Maklumat Sektor Awam serta permohonan pembiayaan Program Penyelidikan dan Pembangunan(Research & Development) ICT Sektor Awam.  

 
Pemakaian

SAKP ini terpakai kepada semua Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan.


Rujukan

i) Surat Arahan Ketua Pengarah (SAKP) Jabatan Digital Negara Bilangan 1 Tahun 2025 berkuatkuasa mulai 4 Mac 2025.

ii) (NEW) Surat Edaran Pemakluman Pelaksanaan Kaedah Bayaran Balik Pembiayaan Program Peningkatan Kompetensi Dan Profesionalisme Bagi Pengiktirafan Teknologis Profesional (Ts.)/ Juruteknik Bertauliah (Tc.) Di Bawah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek lCT Sektor Awam (KWAICT) bertarikh 17 Julai 2026.

Pertanyaan
Sebarang pertanyaan berkenaan dengan KWAICT boleh dikemukakan kepada:

Pengarah
Bahagian Pembangunan Strategik dan Arkitektur Digital 
Jabatan Digital Negara
Kementerian Digital
Aras 2, Bangunan MKN Embassy Techzone
Blok B, N0. 3200, Jalan Teknokrat 2,
63000 Cyberjaya
SELANGOR DARUL EHSAN

No. Telefon : 03 – 8000 8000
E-mel : kwaict@jdn.gov.my
Web : https://www.jdn.gov.my

 

Dokumen permohonan yang diperlukan seperti berikut:

Ganjaran Pasukan Projek ICT

Pembiayaan Program Peningkatan Kompetensi Dan Profesionalisme
(a) Pengiktirafan Teknologis Profesional (Ts.)/ Juruteknik Bertauliah (Tc.)


(b) Kursus Pensijilan Profesional dan Kursus Kemahiran lnsaniah

Pembiayaan Program Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) ICT

Contoh Problem Statement Untuk R&D ICT

SOALAN LAZIM (FAQ) PERMOHONAN GANJARAN DAN PEMBIAYAAN KUMPULAN WANG AMANAH PEMBANGUNAN PROJEK ICT SEKTOR AWAM (KWAICT)

A: UMUM

Apakah itu KWAICT dan tujuan penubuhannya?

Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam (KWAICT) ialah dana wang amanah yang ditubuhkan pada 13 Jun 2013 di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 melalui Surat Ikatan Amanah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam.

KWAICT bertujuan menyediakan dana dalam mengarusperdanakan pelaksanaan projek-projek ICT melalui tiga program utama iaitu:

a. Pemberian ganjaran kepada ahli pasukan yang membangunkan projek ICT menggunakan kepakaran dalaman.

b. Pembiayaan peningkatan kompetensi dan profesionalisme.

c. Pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ICT sektor awam.

Di manakah maklumat berkaitan permohonan KWAICT boleh dirujuk?

Maklumat berkaitan permohonan KWAICT boleh dirujuk di dalam Surat Arahan Ketua Pengarah (SAKP) Jabatan Digital Negara (JDN) Bilangan 1 Tahun 2025 – Garis Panduan Permohonan Ganjaran Dan Pembiayaan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam melalui Portal JDN di https://www.jdn.gov.my/kumpulan-wang-amanah-pembangunan-projek-ict-sektor-awam-kwaict/

Bagaimanakah cara mengemukakan permohonan KWAICT?

a. Muat Turun Dokumen : Muat turun dan lengkapkan borang permohonan yang boleh dicapai melalui Portal JDN di https://www.jdn.gov.my/kumpulan-wang-amanah-pembangunan-projek-ict-sektor-awam-kwaict/ mengikut program yang ingin dimohon.

b. Penyerahan Permohonan: Hantar borang yang telah lengkap diisi beserta ulasan dan sokongan Ketua Jabatan/Bahagian melalui emel ke kwaict@jdn.gov.my.

(Sila simpan borang asal yang telah dihantar untuk rujukan dan rekod pemohon).

Apakah syarat utama permohonan KWAICT?

Permohonan ganjaran dan pembiayaan KWAICT hanya dibuka kepada kakitangan sektor awam dari Perkhidmatan Awam Persekutuan (kementerian, agensi dan bahagian yang diiktiraf sebagai agensi rasmi JPA) yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

 

Syarat terperinci mengikut program yang dimohon boleh dirujuk di dalam SAKP JDN Bilangan 1 Tahun 2025 – Garis Panduan Permohonan Ganjaran Dan Pembiayaan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam melalui Portal JDN di https://www.jdn.gov.my/kumpulan-wang-amanah-pembangunan-projek-ict-sektor-awam-kwaict/

B: GANJARAN PASUKAN PROJEK ICT

Berapakah nilai ganjaran yang ditawarkan?

Jumlah maksimum ganjaran adalah RM200,000.00 bagi setiap projek dan setiap ahli pasukan akan menerima nilai minimum sebanyak RM100.00.

Adakah terdapat had bilangan ahli pasukan projek?

Tiada had ditetapkan bagi bilangan ahli pasukan projek. Walau bagaimanapun, semua ahli yang dicadangkan hendaklah mendapat pelantikan rasmi daripada Ketua Jabatan.

Adakah ahli pasukan yang telah dilantik secara rasmi masih layak menerima ganjaran sekiranya bertukar jabatan, bersara atau meninggal dunia?

Ahli pasukan projek ICT yang telah dilantik secara rasmi (termasuk yg telah bertukar keluar jabatan atau bersara atau yang telah meninggal dunia) adalah layak menerima Ganjaran Pasukan Projek ICT mengikut syarat dan kaedah yang telah ditetapkan.

Agensi bercadang untuk membangunkan sistem secara dalaman, tetapi tiada peruntukan bagi pembelian perisian dan perkakasan untuk membangunkan sistem tersebut. Adakah permohonan pembiayaan untuk perolehan tersebut boleh dimohon melalui dana KWAICT?

Tidak. Dana KWAICT diperuntukkan bagi pemberian ganjaran ahli pasukan projek ICT untuk sistem aplikasi yang telah siap dibangunkan. KWAICT juga tidak menyediakan pembiayaan bagi perolehan perkakasan atau perisian untuk pembangunan sistem.

Adakah projek ICT selain pembangunan sistem aplikasi layak menerima pembiayaan KWAICT?

Tidak. Pada masa ini, pembiayaan KWAICT hanya meliputi projek pembangunan sistem aplikasi yang dilaksanakan secara dalaman oleh agensi mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Bilakah tarikh tutup permohonan KWAICT?

Permohonan KWAICT tidak tertakluk kepada tarikh tutup. Permohonan boleh dikemukakan pada bila-bila masa sepanjang tahun. Namun, setiap tahun sebanyak dua sesi mesyuarat akan dilaksanakan bagi tujuan perakuan dan kelulusan permohonan yang dikemukakan oleh agensi.

Adakah pasukan projek boleh dianggotai oleh pegawai daripada pelbagai skim perkhidmatan?

Ya, boleh. Keanggotaan pasukan projek boleh melibatkan pelbagai skim perkhidmatan. Namun, ganjaran hanya dipertimbangkan kepada pegawai Klasifikasi Perkhidmatan Sistem Maklumat dan pakar bidang bisnes (Subject Matter Expert, SME) daripada pelbagai skim perkhidmatan yang terlibat secara langsung dalam projek ICT.

C: PEMBIAYAAN PROGRAM PENINGKATAN KOMPETENSI DAN PROFESIONALISME

Apakah jenis kursus atau pensijilan yang layak dipertimbangkan untuk permohonan pembiayaan di bawah dana KWAICT?

Jenis kursus atau pensijilan yang layak dipertimbangkan adalah seperti berikut:

a. Kursus pensijilan profesional yang selaras dengan bidang tugas.

b. Pengiktirafan Profesional Teknologis Profesional (Ts.) dan Juruteknik Bertauliah (Tc.).

c. Kursus pembangunan kemahiran insaniah (soft skills) yang menyokong peningkatan kompetensi profesional pegawai.

d. Peperiksaan pensijilan tanpa menghadiri kursus.

Apakah jenis permohonan kursus atau pensijilan yang tidak layak dipertimbangkan untuk pembiayaan di bawah dana KWAICT?

a. Kursus pensijilan profesional/peperiksaan ulangan disebabkan gagal peperiksaan.

b. Kursus pensijilan profesional tanpa menduduki peperiksaan.

c. Pembaharuan pensijilan/pengiktirafan profesional.

d. Tuntutan pembayaran kursus/pengiktirafan profesional biayaan sendiri.

Siapakah yang layak memohon pembiayaan ini?

Pegawai yang layak memohon adalah:

a. Pegawai daripada Klasifikasi Perkhidmatan Sistem Maklumat yang telah disahkan dalam perkhidmatan dan masih berkhidmat.

b. Pembiayaan pengiktirafan Teknologis Profesional (Ts.) terbuka kepada Pegawai Teknologi Maklumat Gred 9 dan ke atas.

c. Pembiayaan pengiktirafan Juruteknik Bertauliah (Tc.) terbuka kepada Penolong Pegawai Teknologi Maklumat dan Juruteknik Komputer.

Siapakah yang tidak layak memohon pembiayaan kompetensi di bawah KWAICT?

Pegawai yang tidak layak dipertimbangkan adalah:

a. Pegawai yang mempunyai tempoh baki perkhidmatan kurang dari 3 tahun pada tarikh permohonan.

b. Pegawai yang sedang dalam tempoh Cuti Separuh Gaji/Cuti Tanpa Gaji/Cuti-cuti Atas Sebab Perubatan/Cuti Kerana Berkursus.

Adakah pemohon boleh menghantar lebih daripada satu permohonan pembiayaan peningkatan kompetensi dan profesionalisme dalam tahun yang sama? Contoh: Permohonan pengiktirafan Teknologis Profesional dan Kursus Insaniah.

Tidak boleh. Pemohon hanya dibenarkan menghantar satu permohonan sahaja dalam tahun yang sama.

Adakah pemohon yang telah memperoleh pengiktirafan Ts. atau Tc. melalui pembiayaan sendiri layak membuat tuntutan bayaran balik (claim) daripada KWAICT?

Tidak Layak. Pemohon yang telah memperoleh pengiktirafan Ts. atau Tc. melalui pembiayaan sendiri tidak layak membuat tuntutan bayaran balik.

Adakah KWAICT menanggung kos perjalanan, penginapan, elaun dan sebagainya bagi program peningkatan kompetensi dan profesionalisme?

Tidak. KWAICT hanya menanggung kos yuran program dan peperiksaan yang diluluskan. Kos perjalanan, penginapan, elaun atau apa-apa kos lain adalah ditanggung oleh pegawai atau jabatan masing-masing.

D: PEMBIAYAAN PROGRAM PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN (R&D) ICT

Adakah permohonan secara individu layak dipertimbangkan untuk pembiayaan program R&D ICT?

Permohonan individu tidak layak dipertimbangkan. Permohonan program R&D hendaklah dikemukakan melalui agensi dan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Berapakah had pembiayaan dan tempoh pelaksanaan projek R&D?

Had pembiayaan maksimum bagi setiap projek R&D adalah sehingga RM200,000.00 dengan tempoh pelaksanaan tidak melebihi satu tahun dari tarikh kelulusan.

Siapakah pemilik hasil kajian atau produk R&D yang dibiayai?

Semua hasil kajian dan produk daripada Program R&D ICT ini adalah HAK MILIK KERAJAAN MALAYSIA

Berapakah had pembiayaan dan tempoh pelaksanaan projek R&D?

Pembiayaan bagi satu projek R&D tidak melebihi RM200,000.00 yang meliputi kos menjalankan penyelidikan dan kos lain yang berkaitan manakala tempoh pelaksanaan projek tidak boleh melebihi satu (1) tahun dari tarikh kelulusan.

Siapakah pemilik hasil kajian atau produk R&D yang dibiayai?

Semua hasil kajian dan produk daripada Program R&D ICT ini adalah HAK KERAJAAN MALAYSIA