Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam (KWAICT)

Latar Belakang

Kerajaan telah menubuhkan KWAICT pada 13 Jun 2013 di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 melalui Surat Ikatan Amanah bagi Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam.

Tujuan

    1. Mengarusperdanakan pelaksanaan projek-projek  ICT  secara in-house yang menggunakan kepakaran dalaman untuk memastikan nilai untuk wang diperolehi bagi setiap projek atau program dilaksanakan.
    2. Memberi pengiktirafan dalam bentuk ganjaran kepada ahli Pasukan Projek ICT yang berjaya melaksanakan Projek ICT secara in-house dan menghasilkan penjimatan kos kepada Kerajaan.
    3. Menyediakan dana khas bagi membiayai Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme Pegawai Skim Perkhidmatan Sistem Maklumat Sektor Awam.
    4. Menghasilkan lebih banyak produk ICT tempatan melalui pengukuhan program-program Penyelidikan dan Pembangunan (Research and Development) ICT Sektor Awam.

 Sumber dan Penggunaan

Sumber KWAICT diperoleh daripada Kementerian Kewangan.

KWAICT digunakan untuk tujuan pemberian ganjaran dan pembiayaan seperti yang berikut:

    1. Memberi ganjaran kepada ahli Pasukan Projek ICT yang berjaya melaksanakan projek ICT secara dalaman dan menghasilkan penjimatan kos kepada kerajaan. Ganjaran adalah mengikut pengiraan 40 peratus daripada jumlah penjimatan kos tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM200,000.00 bagi setiap Projek ICT dengan nilai mínimum sebanyak RM100.00 bagi setiap Ahli Pasukan Projek ICT;
    2. Membiayai Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme Pegawai Klasifikasi Perkhidmatan Sistem Maklumat Sektor Awam bagi kursus pensijilan profesional atau kursus kemahiran insani (soft skills).
    3. Membiayai Program Penyelidikan dan Pembangunan(Research & Development) ICT Sektor Awam dengan pembiayaan tidak melebihi RM200,000.00 bagi satu projek. Jumlah pembiayaan dimohon meliputi kos menjalankan penyelidikan dan kos lain yang berkaitan.

  Pelaksanaan

    1. Permohonan pemberian ganjaran dan pembiayaan daripada KWAICT hendaklah berpandukan Garis Panduan Permohonan Ganjaran dan Pembiayaan  Kumpulan Wang Amanah  Pembangunan Projek ICT Sektor Awam (KWAICT) seperti Lampiran A dalam Surat Arahan Ketua Pengarah (SAKP) Jabatan Digital Negara Bilangan 1 Tahun 2025. 
    2. Garis panduan ini menjelaskan kaedah permohonan, syarat permohonan serta tanggungjawab agensi bagi  ganjaran oleh Pasukan Projek ICT, permohonan pembiayaan Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme bagi Pegawai Klasifikasi  Perkhidmatan Sistem Maklumat Sektor Awam serta permohonan pembiayaan Program Penyelidikan dan Pembangunan(Research & Development) ICT Sektor Awam.  

 
Pemakaian

SAKP ini terpakai kepada semua Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan.


Tarikh Kuat Kuasa

Merujuk Surat Arahan Ketua Pengarah (SAKP) Jabatan Digital Negara Bilangan 1 Tahun 2025  berkuatkuasa mulai 4 Mac 2025.

Pertanyaan
Sebarang pertanyaan berkenaan dengan KWAICT boleh dikemukakan kepada:

Pengarah
Bahagian Pembangunan Strategik dan Arkitektur Digital 
Jabatan Digital Negara
Kementerian Digital
Aras 2, Bangunan MKN Embassy Techzone
Blok B, N0. 3200, Jalan Teknokrat 2,
63000 Cyberjaya
SELANGOR DARUL EHSAN

No. Telefon : 03 – 8000 8000
E-mel : kwaict@jdn.gov.my
Web : https://www.jdn.gov.my


Dokumen permohonan yang diperlukan seperti berikut:

Ganjaran Pasukan Projek ICT

Pembiayaan Program Peningkatan Kompetensi Dan Profesionalisme

Pembiayaan Program Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) ICT

SOALAN LAZIM (FAQ) PERMOHONAN GANJARAN DAN PEMBIAYAAN KUMPULAN WANG AMANAH PEMBANGUNAN PROJEK ICT SEKTOR AWAM (KWAICT)

A: UMUM

Apakah itu KWAICT?

KWAICT ialah singkatan bagi Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam. Ia ditubuhkan pada 13 Jun 2013 di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957.

Apakah jenis pembiayaan atau ganjaran yang boleh dimohon melalui KWAICT?

Terdapat tiga program utama yang ditawarkan iaitu:

  1. Pemberian Ganjaran kepada Pasukan Projek ICT.
  2. Pembiayaan Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme.
  3. Pembiayaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) ICT.
Di manakah saya boleh mendapatkan borang-borang permohonan?

Semua borang dan dokumen berkaitan permohonan boleh dirujuk di dokumen Garis Panduan Permohonan Ganjaran dan Pembiayaan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam. Dokumen boleh dimuat turun dari Portal Jabatan Digital Negara di www.jdn.gov.my

Apakah kaedah penghantaran borang permohonan yang ditetapkan?

Sila lengkapkan borang dan dapatkan ulasan serta sokongan daripada Ketua Jabatan atau Ketua Bahagian. Setelah lengkap, sila buat salinan borang dalam bentuk softcopy. Borang asal hendaklah disimpan untuk rujukan sekiranya diperlukan. Seterusnya, sila kemukakan salinan borang tersebut kepada urus setia melalui emel di alamat kwaict@jdn.gov.my.

B: GANJARAN PASUKAN PROJEK ICT

Apakah syarat-syarat utama bagi projek yang ingin dicalonkan untuk permohonan KWAICT?
  1. Terbuka kepada semua Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan.
  2. Ahli pasukan yang layak dipertimbangkan untuk ganjaran pasukan projek ICT adalah dalam kalangan pegawai Klasifikasi Perkhidmatan Sistem Maklumat dan pakar bidang bisnes yang terlibat dalam projek.
  3. Projek berinovasi tinggi yang menggunakan teknologi terkini, memberi impak secara langsung kepada rakyat atau penjawat awam dan mampan.
  4. Pembangunan dilaksanakan secara dalaman dan telah beroperasi sepenuhnya sekurang-kurangnya 12 bulan dan usis sistem aplikasi tidak melebihi 36 bulan semasa tarikh permohonan.
  5. Sekiranya pihak swasta dilibatkan dalam pembangunan dan pelaksanaan projek kerana tiada kepakaran dalaman, ianya hendaklah tidak melebihi 30 peratus hari bekerja atau input masa perkhidmatan daripada kegiatan projek.Pihak swasta tersebut tidak layak menerima ganjaran KWAICT.
  6. Pelaksanaan projek mendapat mandat/punca kuasa pengurusan agensi selaras dengan Pelan Strategik organisasi atau Pelan Pendigitalan agensi atau lain-lain dokumen strategik yang berkaitan semasa projek dilaksanakan.
  7. Pelaksanaan projek mendapat kelulusan Jawatankuasa Pemandu/Teknikal ICT agensi selaras dengan garis panduan permohonan kelulusan teknikal ICT sektor awam yang berkuat kuasa.
  8. Dokumentasi projek berdasarkan panduan pengurusan projek ICT dan panduan pembangunan sistem aplikasi sektor awam yang berkuat kuasa.
  9. Sistem aplikasi yang telah dibangunkan hendaklah berdaftar dalam Portfolio Aplikasi Kerajaan sektor awam yang berkuat kuasa.

Permohonan hendaklah mendapat sokongan Ketua Jabatan/ Ketua Pegawai Digital (CDO).

Bagaimanakah cara untuk memohon Ganjaran Pasukan Projek ICT?
  1. Semak syarat kelayakan permohonan dan pastikan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan dalam Garis Panduan KWAICT.
  2. Agensi perlu mengemukakan dokumen lengkap merujuk kepada Senarai Semak Permohonan Pemberian Ganjaran Pasukan Projek ICT dan dokumen-dokumen sokongan lain.

Dokumen yang lengkap hendaklah dikemukakan melalui e-mel kepada urus setia di kwaict@jdn.gov.my.

Dokumen-dokumen permohonan dan dokumen sokongan hanya perlu dihantar secara softcopy sahaja.

Semua borang dan dokumen berkaitan permohonan boleh dirujuk di dokumen Garis Panduan Permohonan Ganjaran dan Pembiayaan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam. Dokumen boleh dimuat turun dari Portal Jabatan Digital Negara di www.jdn.gov.my

Berapakah nilai ganjaran yang ditawarkan?

Jumlah maksimum ganjaran adalah RM200,000.00 bagi setiap projek dan setiap ahli pasukan akan menerima nilai minimum sebanyak RM100.00.

Adakah agensi badan berkanun persekutuan layak memohon?

Agensi yang layak memohon adalah Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan sahaja.

Walau bagaimanapun, Agensi badan berkanun persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi-agensi dibawah kerajaan negeri tidak layak memohon KWAICT.

Berapa had bilangan ahli pasukan projek?

Tiada had bilangan ahli tetapi ahli pasukan projek perlu dilantik secara rasmi oleh Ketua Jabatan.

Semasa membuat permohonan KWAICT, sekiranya terdapat ahli pasukan projek (yang telah dilantik secara rasmi) telah bertukar keluar jabatan atau bersara atau meninggal dunia, adakah layak mendapat ganjaran ahli pasukan projek ICT?

Ahli pasukan projek ICT yang telah dilantik secara rasmi layak mendapat ganjaran ahli pasukan projek ICT.

Agensi bercadang untuk membangunkan sistem secara dalaman, tetapi tiada peruntukan untuk pembelian perisian dan perkakasan untuk membangunkan sistem tersebut. Adakah permohonan peruntukan untuk perolehan tersebut boleh dimohon melalui dana KWAICT?

Dana KWAICT diperuntukan bagi pemberian ganjaran ahli pasukan projek ICT untuk sistem aplikasi yang telah siap. Boleh rujuk syarat-syarat kelayakan permohonan Ganjaran Pasukan Projek ICT dalam Garis Panduan Permohonan KWAICT.

Bolehkah agensi kerajaan memohon pembiayaan KWAICT untuk projek ICT yang bukan berkaitan pembangunan sistem aplikasi seperti projek naik taraf infrastruktur, keselamatan siber, automasi atau migrasi awan?

Pada masa ini, permohonan KWAICT hanya akan dipertimbangkan bagi projek pembangunan sistem yang dilaksanakan secara dalaman oleh agensi atau melalui pendekatan Joint Application Development (JAD).

Adakah personel Kontrak atau MySTEP layak menerima ganjaran ahli pasukan projek ICT?

Pegawai daripada Klasifikasi Perkhidmatan Sistem Maklumat serta pakar bidang bisnes yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek ICT adalah layak dipertimbangkan untuk menerima ganjaran pasukan projek. Namun begitu, kelayakan personel kontrak atau MySTEP adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa KWAICT.

Adakah permohonan KWAICT mempunyai tarikh tutup?

Setiap tahun, dijadualkan sebanyak 2 sesi mesyuarat bagi mempertimbangkan permohonan yang dikemukakan oleh agensi. Agensi adalah dipelawa untuk mengemukakan permohonan mengikut tempoh yang akan dimaklumkan melalui hebahan rasmi KWAICT dari semasa ke semasa.

Siapakah yang layak atau perlu memberi ulasan dan sokongan di Lampiran A (Permohonan Ganjaran Projek ICT)

Ketua Jabatan atau Ketua Pegawai Digital (CDO)

Adakah projek yang telah dilaksanakan 8 tahun yang lalu masih layak untuk dipertimbangkan bagi permohonan ganjaran?

Merujuk Garis Panduan Permohonan Ganjaran Dan Pembiayaan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam (4 Mac 2025), hanya projek ICT yang telah beroperasi sepenuhnya sekurang-kurangnya 12 bulan dan usia sistem aplikasi tidak melebihi 36 bulan semasa tarikh permohonan dipertimbangkan untuk pemberian ganjaran KWAICT.

Adakah pasukan projek boleh dianggotai oleh pegawai daripada pelbagai skim lantikan?

Pasukan projek boleh terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan, namun setiap ahli mestilah dilantik secara rasmi sebagai ahli pasukan projek. Walau bagaimanapun, hanya pegawai daripada Klasifikasi Perkhidmatan Sistem Maklumat (pembangun sistem) dan pakar bidang bisnes yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek ICT sahaja yang layak dipertimbangkan untuk menerima ganjaran sebagai ahli pasukan projek.

C: PEMBIAYAAN PROGRAM PENINGKATAN KOMPETENSI DAN PROFESIONALISME

Siapakah yang layak memohon pembiayaan ini?
  1. Pegawai daripada Klasifikasi Perkhidmatan Sistem Maklumat yang telah disahkan dalam perkhidmatan dan masih berkhidmat.
  2. Pembiayaan pengiktirafan Teknologis Profesional (Ts.) terbuka kepada Pegawai Teknologi Maklumat Gred 9 dan ke atas.
  3. Pegawai daripada Klasifikasi Perkhidmatan Sistem Maklumat yang telah disahkan dalam perkhidmatan dan masih berkhidmat.
Apakah jenis kursus atau pensijilan yang layak untuk dibiayai di bawah dana KWAICT?
  1. Kursus pensijilan profesional atau kursus kemahiran insani (soft skills).
  2. Kursus yang selaras dengan bidang tugas dan keperluan ICT semasa seperti Perancangan Strategik ICT, Pengurusan Maklumat, Pengurusan Projek, Pembangunan Sistem, Pangkalan Data, Pengurusan Rangkaian, Pengurusan Keselamatan, Pengurusan Pusat Data atau bidang ICT baharu.
  3. Pembiayaan untuk menduduki peperiksaan pensijilan tanpa menghadiri kursus juga dibenarkan, KECUALI untuk tujuan pembaharuan sijil.
Apakah permohonan atau kursus yang tidak dibiayai di bawah KWAICT?
  1. Kursus pensijilan profesional/Peperiksaan ulangan disebabkan gagal peperiksaan.
  2. Kursus pensijilan profesional tanpa menduduki peperiksaan.
  3. Pembaharuan pensijilan /pengiktirafan profesional.
  4. Tuntutan pembayaran kursus/pengiktirafan profesional biayaan sendiri.
Siapakah yang tidak layak memohon pembiayaan kompetensi di bawah KWAICT?
  1. Pegawai yang sedang Cuti Separuh Gaji/Cuti Tanpa Gaji/Cuti-cuti Atas Sebab Perubatan/Cuti Kerana Berkursus.
  2. Pegawai yang mempunyai tempoh baki perkhidmatan kurang dari 3 tahun pada tarikh permohonan.
Adakah KWAICT memberi pembiayaan untuk pensijilan semula (re-certification) profesional seperti ?

KWAICT tidak memberi pembiayaan untuk pensijilan semula (re-certification) profesional.

Adakah KWAICT memberi pembiayaan untuk pembaharuan Ts. dan Tc.?

KWAICT tidak memberi pembiayaan untuk pembaharuan Ts. dan Tc.

Adakah pemohon boleh menghantar lebih dari satu permohonan? Contoh: Permohonan pengiktirafan Teknologis Profesional dan Kursus Insani.

Pemohon boleh menghantar lebih daripada satu permohonan walau bagaimanapun permohonan hanya akan diluluskan untuk satu pembiayaan kompetensi sahaja dalam tahun semasa.

Pemohon yang sudah mendapat pengiktirafan Ts. atau Tc. menggunakan pembiayaan sendiri, adakah layak untuk memohon tuntutan bayaran (claim) daripada KWAICT?

Pemohon tidak layak membuat tuntutan bayaran (claim) daripada KWAICT.

Adakah KWAICT menanggung kos perjalanan, penginapan, elaun dan sebagainya bagi program peningkatan kompetensi dan profesionalisme?

KWAICT tidak menanggung kos perjalanan, penginapan, elaun dan sebagainya bagi program peningkatan kompetensi dan profesionalisme.

KWAICT hanya menanggung kos kursus/pensijilan/pengiktirafan sahaja.

D: PEMBIAYAAN PROGRAM PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN (R&D) ICT

Siapakah yang boleh memohon dana R&D ini?

Semua Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan layak memohon pembiayaan program R&D

Adakah pemohonan individu boleh mendapat pembiayaan program R&D?

Pemohonan individu bagi program R&D tidak layak dipertimbangkan untuk mendapat pembiayaan dana KWAICT.

Permohonan hendaklah melalui agensi dan memenuhi syarat-syarat kelayakan ditetapkan.

Apakah syarat-syarat permohonan program R&D?
  1. Terbuka kepada semua Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan.
  2. Pasukan diketuai oleh pegawai yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang yang dikaji. Keahlian pasukan hendaklah terdiri daripada pegawai Klasifikasi Perkhidmatan Sistem Maklumat atau kombinasi pegawai dalam bidang yang dikaji.
  3. Pelaksanaan secara kolaboratif hanya dibenarkan bersama institusi pengajian tinggi awam dan/atau agensi penyelidikan awam.
  4. Memfokuskan kepada kajian yang menggalakkan inovasi dan berpotensi untuk dilaksanakan dalam sektor awam bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan serta menyumbang kepada penjimatan kos Kerajaan.
  5. Tempoh pelaksanaan Projek R&D ICT hendaklah tidak melebihi satu (1) tahun daripada tarikh kelulusan pembiayaan KWAICT.
  6. Mendapat mandat/punca kuasa pengurusan agensi selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan agensi atau lain-lain dokumen strategik yang berkaitan.
  7. Mendapat kelulusan teknikal ICT agensi selaras dengan garis panduan permohonan kelulusan teknikal ICT yang berkuat kuasa.
  8. Melaporkan status kemajuan bagi setiap 3 bulan dan laporan penamatan projek kepada JTKWAICT.
  9. Melaporkan perkembangan hasil R&D kepada JTKWAICT secara tahunan bagi tempoh 2 tahun.
  10. Permohonan hendaklah mendapat sokongan Ketua Jabatan/ Ketua Pegawai Digital (CDO).
Berapakah had pembiayaan dan tempoh pelaksanaan projek R&D?

Pembiayaan bagi satu projek R&D tidak melebihi RM200,000.00 yang meliputi kos menjalankan penyelidikan dan kos lain yang berkaitan manakala tempoh pelaksanaan projek tidak boleh melebihi satu (1) tahun dari tarikh kelulusan.

Siapakah pemilik hasil kajian atau produk R&D yang dibiayai?

Semua hasil kajian dan produk daripada Program R&D ICT ini adalah HAK KERAJAAN MALAYSIA

Skip to content