Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) semakin menjadi pemangkin utama kepada transformasi perkhidmatan awam di seluruh dunia. Di Malaysia, Jabatan Digital Negara (JDN) memainkan peranan strategik sebagai peneraju pendigitalan sektor awam, khususnya dalam memastikan pengadaptasian AI dilaksanakan secara beretika, bertanggungjawab dan berimpak tinggi kepada rakyat. Sepanjang tahun 2024 hingga 2025, JDN telah mencatatkan pelbagai pencapaian penting dalam merangka dasar, membangunkan platform, memperkukuh keupayaan penjawat awam serta memperkenalkan aplikasi AI yang berteraskan keperluan sebenar sektor awam
Laporan ringkas ini menghimpunkan pencapaian utama AI di JDN secara menyeluruh, merangkumi aspek tadbir urus, pembangunan ekosistem, pemerkasaan bakat serta inovasi perkhidmatan digital untuk manfaat rakyat.
Salah satu pencapaian utama JDN ialah pembangunan dan pelaksanaan Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam (GPAISA). Garis panduan ini berfungsi sebagai rujukan khusus kepada agensi sektor awam bagi memastikan penggunaan AI dilaksanakan secara beretika, telus dan bertanggungjawab. Fokus utama GPAISA adalah untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkukuh keberkesanan operasi kerajaan, serta memacu inovasi berteraskan teknologi baharu.
Sepanjang tahun 2025, JDN telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperluaskan pemahaman dan penerapan GPAISA dalam sektor awam. Antaranya termasuk penganjuran Seminar AI Sektor Awam 2025, yang menjadi platform penting untuk meningkatkan literasi AI dan kefahaman terhadap prinsip etika AI dalam kalangan penjawat awam. Selain itu, sebanyak 40 khidmat nasihat teknikal telah diberikan kepada pelbagai agensi kerajaan bagi membantu penyelarasan dasar dan amalan AI di peringkat organisasi.
Elemen etika AI turut diintegrasikan dalam Program AI@Work, yang dilancarkan oleh YB Menteri Digital pada Februari 2025, sebagai langkah memastikan penggunaan AI dalam perkhidmatan awam selari dengan nilai integriti dan kebertanggungjawaban. GPAISA juga telah dipromosikan secara meluas melalui platform nasional dan antarabangsa, termasuk persidangan, program advokasi serta pembentangan di peringkat The Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).
Dalam usaha mempercepatkan penggunaan AI secara praktikal di agensi kerajaan, JDN telah melancarkan Platform AI as a Service (AIaaS) pada Ogos 2025. Platform ini menyediakan kemudahan “AI Sandbox” yang membolehkan agensi sektor awam meneroka, menguji dan membangunkan penyelesaian AI berdasarkan permasalahan sebenar yang dihadapi oleh organisasi masing-masing.
Pada peringkat awal, AIaaS dilaksanakan sebagai projek rintis (Proof of Concept) melalui kerjasama dengan penyedia perkhidmatan awan utama. Sehingga Disember 2025, platform ini telah menerima 40 permohonan sandbox daripada 16 agensi sektor awam, menunjukkan tahap minat dan keperluan yang tinggi terhadap penggunaan AI dalam operasi kerajaan. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kos pembangunan, malah membolehkan agensi kerajaan mengakses teknologi AI terkini secara lebih pantas dan terkawal.
Perancangan masa hadapan AIaaS merangkumi peluasan ekosistem dengan penyertaan lebih banyak penyedia teknologi, sekali gus memberi lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada sektor awam. Langkah ini dijangka akan memperkukuh keupayaan kerajaan dalam memacu transformasi digital yang lebih progresif dan berdaya saing.
Pada Februari 2025, JDN telah dilantik sebagai Pusat Kecemerlangan AI (Centre of Excellence, CoE AI) Perkhidmatan Awam. Walaupun peranan ini kemudiannya diselaraskan semula di bawah pendekatan GovTech dan model Keseluruhan Kerajaan (Whole-of-Government), komitmen JDN sebagai peneraju pengadaptasian AI sektor awam kekal utuh.
JDN terus memainkan peranan penting sebagai penggerak strategik, penyelaras inisiatif dan pemudah cara kepada agensi kerajaan dalam melaksanakan AI secara mampan. Pendekatan ini memastikan pembangunan AI tidak berlaku secara terasing, sebaliknya menyokong aspirasi kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan digital yang lebih bersepadu dan berpaksikan rakyat.
JDN menerima 40 permohonan sandbox daripada 16 agensi sektor awam pada tahun 2025
Satu lagi pencapaian signifikan JDN ialah pembangunan Chatbot AI@JDN, yang dilancarkan bersama Portal JDN pada Julai 2024. Chatbot ini dibangunkan menggunakan teknologi Generative AI dan kepakaran dalaman JDN, selaras dengan prinsip pembangunan keupayaan tempatan. Ia berfungsi sebagai medium komunikasi interaktif bagi menyediakan maklumat berkaitan perkhidmatan JDN kepada orang awam, serta menyokong pelbagai bahasa utama.
Sepanjang tahun 2025, JDN telah memperluaskan penggunaan chatbot ini melalui latihan, bengkel dan sesi pandu citra kepada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. Program latihan seperti “Chatbot Zero to Hero” telah berjaya melibatkan puluhan agensi, sekali gus mempercepatkan pemindahan ilmu dan pembangunan kapasiti AI dalam sektor awam.
Pada masa hadapan, Chatbot AI@JDN dirancang untuk dipertingkatkan ke arah Agentic AI, iaitu pendekatan AI yang lebih pintar, proaktif dan berkeupayaan membuat cadangan berdasarkan konteks dan data. Pembangunan AI Knowledge Catalyst (AKC) sebagai pusat sehenti maklumat turut menyokong visi ini dengan menyediakan sumber rujukan berstruktur kepada penjawat awam.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pendekatan berteraskan rakyat, JDN turut membangunkan aplikasi SuaRA, iaitu sistem analitik pintar yang menggunakan Generative AI untuk menganalisis persepsi dan sentimen awam terhadap perkhidmatan sektor awam. Aplikasi ini mengumpul data daripada pelbagai platform media sosial dan menterjemahkannya kepada maklumat sentimen yang berguna untuk penambahbaikan dasar dan perkhidmatan.
Walaupun masih di peringkat akhir pembangunan, SuaRA dijangka menjadi alat penting bagi membantu kerajaan memahami pandangan rakyat secara lebih menyeluruh dan berasaskan data. Pelaksanaan rintis yang dirancang akan membuka ruang kepada peluasan penggunaan aplikasi ini ke seluruh sektor awam pada masa hadapan
Secara keseluruhan, pencapaian AI di Jabatan Digital Negara mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memacu transformasi digital sektor awam secara strategik, beretika dan berpaksikan rakyat. Melalui pembangunan garis panduan, platform teknologi, inovasi perkhidmatan serta pemerkasaan bakat, JDN telah meletakkan asas kukuh ke arah penggunaan AI yang mampan dan berimpak tinggi. Usaha ini bukan sahaja menyokong kecekapan pentadbiran kerajaan, malah meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda pendigitalan negara.