Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Selamat datang diucapkan kepada para pengunjung laman web rasmi Jabatan Digital Negara (JDN), yang dahulunya dikenali sebagai Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Seiring dengan arus perkembangan teknologi global yang pesat, peranan JDN terus diperkukuh dalam memacu agenda pendigitalan negara, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, serta memperkasakan ekonomi digital negara.
Sebagai kesinambungan kepada legasi terdahulu, JDN terus berperanan sebagai peneraju transformasi digital sektor awam. Penjenamaan semula ini bukan sekadar perubahan nama, malah membawa misi yang lebih luas untuk memacu kerajaan digital yang mampan, inovatif dan berdaya tahan. Pengadaptasian teknologi baharu dalam penyampaian perkhidmatan — seperti kecerdasan buatan (AI), data raya, rantaian blok (blockchain), keselamatan siber dan pengkomputeran awan — menjadi teras kepada pembangunan ekosistem GovTech negara yang berteraskan rakyat dan berpacukan data. JDN komited untuk berfungsi sebagai pusat rujukan teknikal ICT kerajaan dalam memastikan pelaksanaan inisiatif pendigitalan dijalankan secara cekap, tangkas, selamat dan menyeluruh, selaras dengan prinsip Whole of Government (WoG). Pendekatan ini diyakini mampu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, memperkukuh keyakinan rakyat, serta melonjakkan daya saing negara di persada global.
Sebagai Jabatan Teknikal Digital Negara, JDN akan terus memainkan peranan strategik dalam penetapan dasar, reka bentuk dan pelaksanaan perkhidmatan digital; penyediaan infrastruktur serta keselamatan ICT; perkongsian data; pembangunan bakat; serta pembudayaan inovasi di semua peringkat agensi kerajaan. Pemerkasaan ekosistem pendigitalan negara akan terus dipacu melalui pendekatan yang berfokuskan rakyat, berteraskan penggunaan teknologi termaju, pengurusan data yang berintegriti dan penyampaian perkhidmatan yang responsif. Semua ini didukung oleh kecekapan operasi digital serta tatakelola yang kukuh, menyeluruh dan telus di setiap peringkat pentadbiran.
Selaku Ketua Perkhidmatan Sistem Maklumat, saya beriltizam untuk terus memperkasa pembangunan bakat digital dalam kalangan pegawai ICT sektor awam agar mereka kekal relevan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran teknologi yang sentiasa berubah. Usaha untuk membudayakan inovasi, meningkatkan kompetensi, serta memupuk semangat kerjasama rentas agensi akan terus dipergiatkan.
Saya menyeru seluruh warga Jabatan Digital Negara dan semua pegawai ICT sektor awam agar terus berganding bahu, memperkukuh sinergi dan meneruskan usaha gigih ke arah mencapai visi, misi dan fungsi JDN, serta merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI dan Agenda Digital Negara.
Diharapkan laman web rasmi ini akan terus menjadi platform komunikasi yang berkesan dalam menyampaikan maklumat terkini berkaitan inisiatif dan perkhidmatan JDN kepada semua lapisan masyarakat.
“Menghubung, Menginovasi, Membina Masa Depan Digital Negara.”
Salam hormat,
Ts. Nik Zalbiha binti Nik Mat
Ketua Pengarah
Jabatan Digital Negara
Jabatan Digital Negara
Aras 1-6,
Bangunan MKN Embassy Techzone
Blok B, No. 3200
Jalan Teknokrat 2
63000 Cyberjaya, Sepang
Selangor Darul Ehsan
Tel : 603-8000 8000
E-mel: webmasterjdn@jdn.gov.my
Pelawat Hari Ini : 34
Jumlah Pelawat : 60524
Jumlah Capaian : 1306947
Laman ini sesuai dipapar mengunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini dengan resolusi minima 1366×768