Sistem Repositori Aplikasi Sektor Awam (RASA) ialah sebuah sistem yang merekod, menyimpan dan mengurus maklumat berkaitan sistem aplikasi serta teknologi aplikasi di agensi sektor awam. Sistem RASA dibangunkan bertujuan membantu Kerajaan membuat keputusan yang lebih tepat dan berasaskan data bagi memaksimumkan pulangan pelaburan, memastikan value for money, serta menyokong pelaksanaan sistem aplikasi pintar yang berimpak tinggi.
Berpandukan Surat Arahan Ketua Pengarah MAMPU Bilangan 1 Tahun 2023 (bertarikh 10 Julai 2023), pengurusan portfolio aplikasi Kerajaan hendaklah dilaksanakan melalui penggunaan sistem RASA sebagai rujukan kepada agensi Kerajaan. Surat arahan ini adalah terpakai kepada semua Kementerian, Jabatan Persekutuan dan Pihak Berkuasa Berkanun Persekutuan.
Dalam pelaksanaan Sistem RASA ini, agensi bertanggungjawab memastikan rekod profil Sistem Aplikasi serta maklumat pegawai berkaitan sentiasa dikemas kini apabila berlaku sebarang perubahan. Bagi memastikan prinsip semak dan imbang dipatuhi, peranan Pegawai Pendaftar dan Pegawai Pelulus hendaklah dilaksanakan oleh pegawai yang berbeza. Selain itu, Pentadbir Organisasi, Pegawai Pendaftar dan Pegawai Pelulus hendaklah menggunakan laporan yang dijana dalam sistem RASA bagi tujuan pemantauan, analisis, dan perancangan pengurusan sistem aplikasi di peringkat agensi.
Sehingga Disember 2025, sebanyak 2,174 sistem aplikasi telah didaftarkan dalam sistem RASA melibatkan 157 kementerian dan agensi sektor awam. Pendaftaran ini merangkumi pelbagai status sistem, iaitu aktif, tidak aktif, dalam pembangunan dan dalam pengujian. Dari segi penggunaan sistem RASA, seramai 1,343 pengguna sektor awam telah berdaftar sebagai pengguna sistem RASA, dan seramai 1,195 daripadanya adalah berstatus aktif.
Penggunaan sistem RASA sebagai repositori berpusat pengurusan portfolio aplikasi Kerajaan memperkukuh tadbir urus digital melalui ketersediaan data yang tepat, seragam dan boleh dipercayai di peringkat keseluruhan kerajaan. Keupayaan ini membolehkan Kerajaan menilai keperluan, prestasi dan hala tuju aplikasi secara lebih menyeluruh, sekali gus menyokong proses membuat keputusan yang lebih tepat, berimpak serta selaras dengan keutamaan penyampaian perkhidmatan awam.
Pematuhan agensi untuk mengemas kini rekod secara berterusan serta pengasingan peranan Pegawai Pendaftar dan Pegawai Pelulus akan meningkatkan integriti data dan ketelusan proses. Melalui analisis dan laporan dalam sistem RASA, pertindihan pembangunan dapat dikenal pasti lebih awal, penyelarasan serta standardisasi dapat diperkukuh, dan penggunaan semula komponen atau penyelesaian sedia ada dapat dipertingkatkan. Kesannya, kos pembangunan dan penyelenggaraan dapat dioptimumkan, risiko pelaksanaan dapat dikurangkan, dan value for money dapat dimaksimumkan melalui penyampaian aplikasi pintar yang lebih cekap, selamat dan berimpak kepada rakyat.
Pautan Sistem Aplikasi Sektor Awam: https://rasa.jdn.gov.my