Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Bil 7/2023 pada 11 Disember 2023 bersetuju supaya GovTech Malaysia diwujudkan dan dilaksanakan secara berfasa. Antara perkara yang perlu dilaksanakan bagi merealisasikan aspirasi GovTech dan pewujudan GovTech Malaysia adalah pembangunan dan reka bentuk perkhidmatan/produk digital bersepadu. Sehubungan dengan itu, Jabatan Digital Negara melaksanakan pembangunan aplikasi mudah alih kerajaan sebagai platform perkhidmatan kerajaan bersepadu yang menghimpunkan maklumat rasmi dan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan pemegang taruh. Pembangunan aplikasi mudah alih ini memastikan tiada pertindanan fungsi antara agensi menerusi pendekatan perkhidmatan digital melalui Government Technology (GovTech) bagi keseluruhan kerajaan (Whole of Government – WoG).
Pembangunan perkhidmatan dalam ekosistem aplikasi mudah alih menekankan keselamatan digital dan membolehkan pengguna mendapat antara muka serta pengalaman penggunaan (UI/UX) yang seragam bagi memudahkan mereka menggunakan perkhidmatan digital kerajaan. Pelaksanaan aplikasi mudah alih ini juga memastikan konsolidasi sumber menerusi ekosistem perkhidmatan bersepadu supaya penggunaan sumber dapat dioptimum serta mengatasi birokrasi yang wujud antara agensi.
Aplikasi mudah alih kerajaan ini merangkumi pelbagai ciri yang direka untuk menyediakan akses yang mudah kepada perkhidmatan kerajaan di dalam satu platform serta memastikan pelaksanaan no wrong door policy sejajar dengan konsep Malaysia MADANI berkaitan kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta. Antara ciri-ciri tersebut adalah kad digital, notifikasi dan amaran, integrasi perkhidmatan kerajaan seperti semakan lesen dan lain-lain. Pembangunan aplikasi mudah alih ini juga memberi tumpuan kepada keselamatan dan perlindungan data pengguna untuk memastikan kerahsiaan dan integriti data serta antara muka dan pengalaman (UI/UX) yang mesra pengguna.
Aplikasi mudah alih kerajaan ini berperanan sebagai gerbang digital untuk rakyat berinteraksi dengan pihak kerajaan, mendapat akses kepada perkhidmatan penting dan maklumat tentang hal ehwal kerajaan dengan mudah. Dengan memanfaatkan teknologi dan inovasi, platform aplikasi mudah alih ini mampu meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kepercayaan rakyat dalam perkhidmatan kerajaan.
Jabatan Digital Negara
Aras 1-6,
Bangunan MKN Embassy Techzone
Blok B, No. 3200
Jalan Teknokrat 2
63000 Cyberjaya, Sepang
Selangor Darul Ehsan
Tel : 603-8000 8000
E-mel: webmasterjdn@jdn.gov.my
Pelawat Hari Ini : 70
Jumlah Pelawat : 30265
Jumlah Capaian :Â 823156
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini dengan resolusi minima 1366×768