Bahasa Malaysia

Bahasa Inggeris

Perkhidmatan End-to-End

Perkhidmatan kerajaan secara End-to-End (E2E) merupakan instrumen strategik utama bagi merealisasikan sasaran pendigitalan di bawah Rancangan Malaysia        Ke-13 (RMK13). Sasaran ini menetapkan 95% perkhidmatan Kerajaan Persekutuan disediakan secara dalam talian sepenuhnya dari mula hingga akhir selaras dengan hala tuju transformasi sektor awam ke arah pembentukan kerajaan digital yang bersepadu, cekap dan berimpak tinggi. Pendekatan E2E menekankan pendigitalan menyeluruh merangkumi keseluruhan kitaran perkhidmatan, bermula daripada peringkat permohonan, pemprosesan dan kelulusan sehingga penyampaian hasil perkhidmatan kepada pelanggan, tanpa kebergantungan kepada intervensi manual atau proses fizikal.

Selaras dengan sasaran pendigitalan E2E RMK13, penekanan diberikan kepada penghapusan silo perkhidmatan, pengurangan pertindihan sistem serta penambahbaikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan berfokuskan pengguna. Dalam hal ini, pelaksanaan perkhidmatan E2E berperanan sebagai pemacu utama pencapaian sasaran tersebut melalui penyelarasan proses merentas kementerian dan agensi, penggunaan platform digital bersepadu serta pengukuhan perkongsian dan kebolehgunaan data secara selamat. Pendekatan ini membolehkan perkhidmatan awam disampaikan secara lancar, konsisten dan mudah diakses oleh kumpulan sasar.

Sebagai langkah sokongan kepada pelaksanaan pendigitalan E2E, pendekatan tanpa kertas (paperless) bagi urusan mudah akan dilaksanakan bermula 9 Februari 2026. Pendekatan ini merangkumi penggunaan sepenuhnya platform digital bagi pengurusan dokumen, transaksi, kelulusan dan rekod perkhidmatan selaras dengan prinsip automasi, integrasi sistem dan perkongsian data secara selamat. Pelaksanaan pendekatan tanpa kertas dijangka dapat mengurangkan kos operasi dan tempoh pemprosesan, di samping menyokong amalan kelestarian alam sekitar serta memperkukuh budaya kerja digital dalam perkhidmatan awam.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan pendigitalan perkhidmatan awam secara E2E melalui program pendigitalan Perkhidmatan Awam dengan pendekatan tanpa kertas mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memodenkan pentadbiran awam. Inisiatif ini menjadi asas kepada pencapaian sasaran pendigitalan E2E RMK13 dengan memastikan transformasi digital sektor awam dilaksanakan secara holistik, berfasa dan mampan, seterusnya menyokong pembentukan ekosistem kerajaan digital yang cekap, responsif dan berdaya tahan serta penyampaian perkhidmatan awam yang pantas, selamat dan berorientasikan hasil.

Panduan Penyenaraian Perkhidmatan Kerajaan (PPPK) telah dikeluarkan oleh JDN sebagai rujukan rasmi kepada semua kementerian dan agensi pelaksana. Panduan ini menjadi asas kepada penyeragaman, penyelarasan serta pemantapan pelaksanaan perkhidmatan E2E di seluruh sektor awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan digital kerajaan lebih konsisten, cekap dan berfokus kepada keperluan rakyat. 

Pautan PPPK: https://dasar.jdn.gov.my/search-d/download-file/383/4708ff70efe225a0a731662b91ef103a

Laporan Berkala Suku Pertama Tahun 2025

Laporan Berkala Suku Kedua Tahun 2025

Laporan Berkala Suku Ketiga Tahun 2025

*Tiga laporan di atas masih dalam penyediaan.

Statistik Perkhidmatan dalam Talian